KUALA LUMPUR: Petaling Jaya dinobat antara 10 bandar di dunia sebagai penerima Anugerah Bandar Pembelajaran Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi 2019 susulan pencapaian dan kemajuan yang ditempa dalam sektor pendidikan.

Selain Petaling Jaya, sembilan bandar lain yang diberi anugerah sama ialah Aswan (Mesir), Chengdu (China), Heraklion (Greece), Ibadan (Nigeria), Medellin (Columbia), Melitopol (Ukraine), Santiago (Mexico), Seodaemun (Korea Selatan) dan Sønderborg (Denmark).

Bersandarkan penilaian barisan juri dari Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat UNESCO (UIL), pemenang anugerah berkenaan dipilih mengikut kriteria tertentu.

“Walaupun masing-masing bermula daripada pelbagai konteks ekonomi, politik, sosial dan alam sekitar, semua pemenang Anugerah Bandar Pembelajaran UNESCO 2019 mempunyai kriteria tertentu.

“Ia merangkumi inisiatif inovasi dan dasar khusus, selain pelbagai program yang menyediakan rangkaian peluang demi manfaat komuniti setempat,” katanya dalam kenyataan dipaparkan menerusi laman web rasminya, Khamis lalu.

Memperincikan pencapaian Malaysia, UIL menyifatkan Petaling Jaya merangka pelbagai inisiatif untuk menaik taraf capaian ke arah pendidikan awam, selain menyediakan perkhidmatan bas percuma merentasi empat jajaran dalam bandar berkenaan.

“Bandar terbabit (Petaling Jaya) juga menggunakan sepenuhnya sumber disediakan rakan strategik,” katanya sambil menambah anugerah berkenaan akan disampaikan pada penganjuran Persidangan Bandar Pembelajaran Antarabangsa 2019, di Medellin, Columbia.

Advertisements