BUKIT MERTAJAM: Kertas siasatan kes kemalangan yang menyebabkan Moey Yun Peng, 20, maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya terhumban ke laut, di Kilometer 4 Jambatan Pulau Pinang dirujuk ke Pejabat Peguam Negara, hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran, berkata ia adalah prosedur biasa bagi menentukan tindakan lanjut berhubung kes terbabit, selepas kertas siasatan mengenainya dilengkapkan.

“Kita sudah hantar kertas siasatan kes terbabit dan ia akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara, hari ini. Justeru, kita akan tunggu keputusan pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian pada jam 2.45 pagi Ahad lalu, SUV dipandu Yun Peng, terhumban ke laut selepas terbabit dalam kemalangan dengan Toyota Vios dipandu rakannya, di tempat kejadian.

Kenderaan dan mayat Yun Peng dikeluarkan dari laut pada petang Selasa lalu, selain difahamkan malam sebelum tragedi berkenaan, mendiang Yun Peng ada menghubungi pemandu Toyota Vios terbabit untuk mengajaknya menyertai majlis hari jadi rakan mereka di Lebuh Chulia, Georgetown.

Dalam pada itu, Narenasagaran berkata, sebanyak 5,048 saman dikeluarkan sepanjang Selamat Tahun Baharu Cina 2019 yang bermula 29 Januari lalu, dengan 3,168 daripadanya adalah berkaitan enam kesalahan utama penyumbang kepada kemalangan jalan raya.

“Seramai lima pemandu ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dan akan dituduh mengikut Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala enam kes direkodkan berkaitan tangkapan samseng jalanan.

“Kita turut menyita 23 motosikal, selain jumlah kemalangan adalah sebanyak 808 kes, membabitkan lima kematian, masing-masing empat penunggang motosikal dan basikal (1), sepanjang enam hari operasi ini dijalankan,” katanya.

Advertisements