KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah drama era 1990-an, Roslan Hussin, 54, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, pada jam 4.45 petang tadi selepas mengadu sesak nafas ketika memandu kereta.

Allahyarham yang ditemani anak perempuannya, sempat memberhentikan kenderaan dan meminta bantuan orang awam untuk membawanya ke hospital.

Setibanya di HKL, Allahyarham dikejarkan ke wad kecemasan.

Adik Roslan, Mashor memberitahu, doktor cuba memberi bantuan pernafasan terhadap abangnya, namun tidak berjaya.

“Sebelum kejadian, arwah mengadu sesak nafas ketika sedang memandu bersama anak perempuannya.

“Selepas mendapat bantuan orang ramai, arwah terus dikejarkan ke wad kecemasan untuk diberi bantuan pernafasan,” katanya.

Mashor berkata, jenazah Allahyarham akan dimandi dan dikapankan di Surau Al Husna, Setapak, esok, sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, Petaling Jaya, pada jam 9 pagi.

Advertisements