KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan seorang wanita memulangkan semula hasil jualan dua lot tanah pusaka sebanyak RM95,000 milik lima beradik yang dijual tanpa pengetahuan.

Mahkamah turut membatalkan pendaftaran hak milik empat lot lagi tanah pusaka arwah bapa lima beradik itu atas nama Hanisah Mohd, 49, selaku defendan dan mengarahkan semuanya dipulangkan semula kepada mereka.

Selain itu, Hanisah turut diarahkan membayar lain-lain kos berjumlah RM15,000 iaitu termasuk ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan kos guaman semua plaintif.

Defendan sebelum ini didapati menjual enam lot tanah pusaka milik lima beradik itu tanpa pengetahuan dengan cara menipu tandatangan tiga daripada mereka ketika proses jual beli tanah di Kemasik, Kemaman.

Defendan didapati melakukan penipuan itu dengan cara menipu tandatangan tiga daripada mereka ketika proses jual beli tanah di Kemasik, Kemaman.

Jabatan Kimia turut mengesahkan kesemua tandatangan yang dibuat di setiap dokumen jualan tanah berkenaan adalah palsu.

Sebelum ini, Muhazian Mohd, 42, juga mewakili Mohd Kamal Mohd yang sudah meninggal dunia, Mohd Zainuddin Mohd, 35, Mohd Hairul Nizam Mohd, 30 dan Nor Azahar Mohd, 52, selaku plaintif, memfailkan pernyataan tuntutan menerusi Tetuan Mohd Zubir Embong @ Associates dan Saiffuddin Othman.

Pernyataan difailkan pada 17 Januari 2017 di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu yang mengandungi sembilan tuntutan itu mendapat persetujuan daripada Zainal Azman yang menghakimi tuntutan itu.

Dalam tuntutan itu, plaintif-plaintif turut menamakan Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian, selaku defendan kedua.

Mahkamah bersetuju dengan semua tuntutan yang dibuat antaranya membabitkan bayaran kerugian jualan tanah pusaka dan kos guaman semua plaintif.

Advertisements