SHAH ALAM: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dimasukkan ke hospital dan difahamkan sudah menjalani pembedahan.

Dalam ciapan Twitter anaknya, Farah Amira turut merakamkan kehadiran isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Ali.

Turut kelihatan dalam gambar berkenaan ialah isteri Timbalan Presiden KEADILAN itu, Datin Seri Shamsida Taharin.

Siti Hasmah kelihatan mesra sambil memegang tangan Mohamed Azmin yang terbaring di atas katil.

Farah berkata, ayahnya kini semakin pulih dan tidak sabar untuk kembali bekerja.

“Gambar ini menggambarkan seribu perkataan, sesungguhnya Abah bersemangat tinggi dari penjagaan dan kasih sayang yang dibawa oleh Tun yang datang melawat selepas pembedahan Abah.

“Permata seperti Tun adalah membawa kebaikan, kelembutannya, kasih sayang dan belas kasihannya. Saya dapat melihat diri saya dalam cara beliau merawat Abah,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin dalam ciapannya pula mengucapkan terima kasih rakan-rakan politik yang menziarahinya seperti Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr Afif Bahardin dan Hilman Idham.

“Saya hargai doa dan kiriman ucap selamat dari teman dan kenalan. Insya Allah dilindungi kita semua. Terima kasih di atas ziarah @SyedSaddiq @afifbahardin @hilmanidham,” kata Mohamed Azmin.

Advertisements