KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah menolak tawaran pengantaraan AirAsia dalam satu surat yang dihantar oleh peguam pengendali lapangan terbang itu.

AirAsia berkata ia telah mencadangkan pengantaraan dalam usaha mencari jalan penyelesaian kepada pertikaian berterusan antara pihaknya dan MAHB berhubung caj perkhidmatan penumpang (PSC) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Menurut syarikat penerbangan tambang rendah itu, Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menuntut AirAsia dan MAHB mendapatkan khidmat pengantaraan (mediation) terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan undang-undang lain.

Ia bagi menjimatkan masa dan kos untuk semua pihak yang terlibat, termasuk sistem kehakiman, katanya dalam satu kenyataan pada Rabu .

Oleh itu AirAsia, bertindak secara jujur untuk mematuhi Akta tersebut dan mengelakkan lagi wacana awam yang ia percaya menjejaskan sektor penerbangan.

Tidak kira apa juga keputusannya, syarikat penerbangan itu percaya pengantaraan akan membolehkan kedua-dua pihak terus bergerak ke hadapan dengan cara yang lebih bijak.

Mengulas perkembangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat berkata pihaknya kesal dengan keputusan MAHB yang menolak tawaran perdamaian AirAsia untuk menyelesaikan isu-isu antara mereka menerusi pengantaraan.

Ia terutamanya memandangkan kenyataan MAHB baru-baru ini bahawa ia ‘optimis isu ini boleh dan akan diselesaikan’, katanya.

Riad berkata, AirAsia akan mendapatkan panduan daripada Mavcom mengenai langkah-langkah seterusnya bagi menangani situasi tersebut.

“Bagaimanapun, kami berhak untuk mengambil segala tindakan yang perlu untuk melindungi kepentingan pelanggan dan pemegang saham kami,” katanya.

Advertisements