KUALA LUMPUR: Pengeluar makanan dan minuman terbesar dunia, Nestle Malaysia (Nestle) memperkenalkan rangkaian produk wafer bersalut coklat terbaharu, KITKAT Ruby.

KITKAT Ruby adalah wafer jejari yang disaluti dengan coklat Ruby dengan warna merah jambu semula jadi dan menjadi produk pertama di rantau Asia Tenggara.

Produk yang dilancarkan sebagai varian coklat terbaharu itu boleh didapati secara eksklusif di kedai KITKAT Chocolatory yang dibuka di pusat beli belah, MidValley.

Pegawai Eksekutif Perniagaan Unit Konfeksi (Pasaran Asean) Nestle, Sachin Goel, berkata KITKAT Ruby juga boleh didapati secara dalam talian di beberapa platform e-dagang bermula minggu ini, bagi membuka peluang lebih luas kepada penggemar coklat KITKAT seluruh negara.

“Selain berpeluang mendapatkannya secara eksklusif dengan menghasilkannya mengikut citarasa pelanggan di KITKAT Chocolatory, orang ramai juga boleh membuat pesanan dalam talian di Lazada, Shopee dan 11street.

“Bagi pasaran secara runcit, kami belum berhasrat untuk memperluaskannya lagi kerana mahu memperkukuh produk ini terlebih dahulu dan menyaksikan maklum balas ramai mengenai produk inovatif ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran produk berkenaan dan KITKAT Chocolatory di sini, hari ini.

KITKAT Ruby adalah varian coklat baharu dunia selepas coklat hitam, coklat susu dan coklat putih dalam tempoh 80 tahun tanpa sebarang perasa atau pewarna tambahan.

Menerusi KITKAT Chocolatory, Sachin berkata kedai itu menawarkan peluang kepada peminat jenama berkenaan untuk membuat gubahan KITKAT mengikut cita rasa sendiri dengan lebih 10,000 kombinasi coklat dan ‘topping’ yang ditawarkan.

“Kami menampilkan konsep dapur terbuka bagi membolehkan pengguna menyaksikan proses penghasilan produk KITKAT istimewa yang direka khas,” katanya.

Beliau berkata, proses yang digunakan untuk membuat cokolat ruby adalah unik.

“KITKAT sentiasa ingin mewujudkan suasana santai dengan perasa buah serta tekstur yang lembut dan enak, “katanya.

KITKAT adalah produk konfeksi nombor satu di Malaysia, dengan kilang pengeluarannya di Chembong, Negeri Sembilan mempunyai pengiktirafan halal serta turut dieksport ke 14 negara lain di seluruh dunia.

Advertisements