SHAH ALAM: Domino’s Pizza Malaysia memperkenalkan menu terbaharunya, Royal Salted Egg piza yang mempromosikan kerak Royale merah dan dipadankan dengan sos telur masin bersama taburan telur masin.

Timbalan Presiden Operasi Domino’s Pizza Malaysia dan Singapura, Shamsul Amree Ab Rahman berkata , menu yang bakal diperkenalkan untuk tempoh masa terhad menampilkan tiga jenis piza iaitu Royale Chicken Piza, Royale Tuna Piza dan Royale Delight Piza dan turut dilengkapi menu tambahan lain seperti Royal Chicken Wings dan Royale Cheesy Stix baharu.

“Kami menyasarkan Royale Salted Egg Piza untuk mencatatkan jualan antara 15 hingga 20 peratus dan kami yakin ia akan mendapat sambutan positif dalam kalangan pelanggan kerana ia menampilkan keunikan rasa dan bakal memenuhi citarasa mereka bersempena musim perayaan kali ini,” katanya.

Semua produk ini boleh mula didapati di semua cawangan Domino’s Pizza di Semenanjung Malaysia bermula 11 Februari 2019.

Dalam masa sama, Dommal Food Services Sdn Bhd (Domino’s Pizza Malaysia), merancang membuka 20 cawangan baharu tahun ini, sekali gus membantu dalam mencapai sasaran mereka untuk memiliki 300 cawangan menjelang 2020.

Syarikat itu sudah membuka enam cawangan baharu yang terletak di Gong Badak, Terengganu; Tapah, Perak; Jasin, Melaka; Nusa Idaman, Johor; Parit Raja, Johor dan Kota Kinabalu, Sabah pada tahun ini.

“Kami komited untuk membuka lebih banyak lagi cawangan di kawasan bandar yang masih belum diterokai di Semenanjung Malaysia dan Sabah tahun ini serta meninjau peluang untuk menerokai pasaran Sarawak pada tahun depan,” katanya pada media selepas majlis pelancaran Royale Salted Egg Piza baharu di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya optimis untuk membuka 20 cawangan pada 2019 sebagai tambahan kepada 236 cawangan keseluruhan pada masa ini bagi mengekalkan jenama piza itu sebagai peneraju penghantaran piza di negara ini dan menjadi jenama piza pertama di Malaysia pada masa depan.

“Kami menjangkakan langkah ini akan membantu syarikat untuk mencatatkan pertumbuhan perniagaan lebih baik pada tahun ini dibantu penyediaan kemudahan yang terbaik, produk berkualiti, perkhidmatan terunggul dan tawaran nilai buat pelanggan kami,” katanya.

 

Advertisements