KUALA LUMPUR: “Anggap saja perubahan ini sebagai permulaan, tetapi sudah pasti saya mengharapkan yang terbaik. Saya tidak tahu sekuat mana iman apabila berdepan dugaan nanti.

“Disebabkan itu, saya belum mempunyai kekuatan untuk mengatakan sudah berhijab kerana cara saya menutup aurat belum sempurna.

“Saya bermula dengan menutup kepala kerana masih meletakkan diri dalam proses pembelajaran,” kata pengacara dan pelawak terkenal, Jihan Muse ketika ditanya mengenai perubahan pada penampilannya sejak akhir bulan lalu.

Jihan atau nama sebenarnya, Nur Jihan Muse, 36, berkata keinginan untuk berhijrah sudah lama terdetik, namun hatinya sering berbolak-balik.

Bagaimanapun, kunjungan ke Palu, Indonesia untuk menjayakan misi kemanusiaan, baru-baru ini dan cabaran perbezaan 10 tahun menguatkan lagi keinginannya supaya segera berubah.

“Ketika cabaran #10yearschallenge mulai tular, baru-baru ini, saya terfikir perjalanan yang saya tempuhi sepanjang sedekad lalu.

“Saya mula bertapak dalam industri pada 2009 selepas menyertai program Raja Lawak. Sedekad dalam industri hiburan, sudah banyak saya lalui untuk menghiburkan orang ramai.

“Kebetulan bulan lalu, anak saya meraikan ulang tahun yang pertama. Apabila direnung semula, sampai bila saya mahu terus menjadi Jihan Muse yang sama?

“Saya berharap dengan perubahan ini, doa insan berhati mulia di luar sana akan dimakbulkan dan saya terus istiqamah menjadi Muslimah, ibu serta isteri yang lebih baik,” katanya.

Jihan berkata, menonton kisah penghijrahan Mizz Nina juga sedikit sebanyak membuka hatinya untuk bermuhasabah diri, seterusnya melakukan anjakan dalam hidup.

Ditanya mengenai reaksi suaminya, Ungku Hariz Faizal yang juga pelakon, Jihan berkata, suaminya terkejut apabila melihat perubahannya ketika mereka bercuti di Osaka, Jepun, baru-baru ini.

“Suami ingat saya memakai skaf disebabkan cuaca yang sejuk. Tetapi, apabila masuk hari kedua dan saya terus menutup kepala, baru dia bertanya apakah saya serius mahu bertudung.

“Sudah tentu sebagai suami, dia mahu saya membuat perubahan dengan hati yang ikhlas dan bukan main-main. Disebabkan itu saya belum berani mengatakan saya sudah berhijab, tetapi saya sedang berusaha untuk berubah perlahan-lahan,” katanya.

Jihan dan Ungku Hariz mendirikan rumah tangga pada Mac 2017 selepas sembilan tahun menjalin percintaan. Mereka dikurniakan anak lelaki, Ungku Arsalan Haq pada 26 Januari 2018.

Advertisements