JITRA: “Jika terbaca atau menonton berita mengenai Muhammad Adib, saya akan cepat tutup dan buat kerja lain, tetapi di dalam hati saya berharap kematiannya mendapat keadilan segera,” kata Asma Aziz, 52.

Asma adalah ibu kepada anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang terkorban dalam kejadian rusuhan di Kuil Maha Mariamman, Subang Jaya, November lalu.

Asma berkata, setiap kali selesai solat, dia akan mendoakan prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anaknya itu berjalan lancar demi memberi keadilan kepada keluarganya.

Katanya, dia hanya mahu melihat pelaku yang memukul anaknya dijatuhi hukuman secepat mungkin.

“Sebagai seorang ibu dan orang Islam, hanya doa yang saya mampu iringi supaya prosiding inkues berkenaan berjalan lancar dan dalam keadaan sekarang hanya Allah yang dapat membantu saya.

“Rindu kepada Adib tak pernah kurang, sudah hampir dua bulan dia pergi meninggalkan kami, masih terngiang-ngiang suaranya memanggil saya mak, perasaan saya bercampur aduk sekarang. Harap akan ada berita gembira dari mahkamah selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Tahlil Adib anjuran penduduk Kampung Telaga Mas di sini, malam tadi.

Ibu kepada empat orang anak itu hadir ke majlis berkenaan bersama suaminya Mohd Kassim Abdul Hamid, 64.

Pasangan itu turut melahirkan rasa terharu atas kepedulian masyarakat dan berterima kasih kepada penganjur tahlil khas untuk arwah anak mereka.

Pada 18 Jan lalu, pengurusan kes inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, telah didengar di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan prosiding inkues dijalankan di hadapan Hakim Rofiah Mohamad yang bersidang sebagai Koroner.

Sementara itu, penganjur majlis berkenaan, Mashkor Jamaludin, 47, berkata biarpun tiada talian persaudaraan dengan keluarga Adib, namun dia sanggup mengeluarkan belanja bagi mengadakan tahlil dan jamuan kepada penduduk kampung.

Katanya, tahlil itu diadakan sebagai doa dan sedekah untuk Allahyarham Muhammad Adib berikutan kematiannya sungguh menyayat hati seluruh rakyat Malaysia.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu, di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

Advertisements