SHAH ALAM: Abang kepada Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim antara ahli keluarga yang menghadiri hari pertama pendengaran inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba itu di Mahkamah Koroner di sini, hari ini.

Tinjauan mendapati Muhammad Asyraf yang berpakaian kemas dilihat memasuki bilik saksi mahkamah itu, sejak kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Beliau dilihat turut diiringi beberapa pegawai dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Polis bagaimanapun hanya membenarkan seorang wartawan mewakili agensi masing-masing untuk memasuki mahkamah berkenaan.

Difahamkan, tiga saksi dijangka akan memberi keterangan pada prosiding hari pertama inkues itu dan tujuh saksi disenaraikan pihak pendakwaan untuk dipanggil dalam masa terdekat.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad itu akan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya yang juga pegawai pengendali inkues, Hamdan Hamzah bersama-sama Faten Hadni Khairuddin dan Zhafran.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, parah selepas diserang dan dipukul sekumpulan perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

Pada 27 Disember lalu, media melaporkan Peguam Negara akan mengarahkan majistret untuk membuat inkues bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib.

Advertisements