IPOH: Video ‘live’ seorang wanita membasuh anjing di dalam bilik tukar lampin bayi di Kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan yang tular sejak kelmarin mengundang pelbagai reaksi warganet di laman sosial Facebook.

Video ‘live’ dibuat oleh seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Farah Shafiza itu membuatkan ramai pihak memberikan reaksi negatif terhadap tindakan wanita membasuh anjing itu dan menganggapnya tidak menghormati sensitiviti agama lain.

Farah Shafiza Che Amat, 29, berkata, dia yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur bersama suaminya singgah ke R&R itu untuk ke tandas sebelum mendengar bunyi kecoh beberapa pekerja pencucian yang tidak berpuas hati dengan tindakan wanita itu.

“Pekerja pencucian ada menegurnya dan saya sendiri juga menegurnya namun dia buat tidak tahu, saya juga terdengar dia berkata yang anjing bukannya kotor pun,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Farah, kejadian itu berlaku kira-kira jam 3 pagi kelmarin dan wanita itu yang tidak mengendahkan sesiapapun kemudiannya beredar meninggalkan R&R berkenaan.

Katanya, atas dasar tanggungjawab, dia kemudiannya membuat laporan kepada PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan dimaklumkan pihak PLUS sudah melakukan samak di bilik tukar lampin bayi berkenaan.

Sementara itu, dalam satu kenyataan dikeluarkan PLUS dalam laman webnya memaklumkan persekitaran bilik tukar lampin bayi itu sudah disamak dan dibersihkan serta-merta supaya ia boleh terus digunakan oleh pelanggan.

“PLUS melahirkan rasa kesal dengan kejadian terpencil berkenaan di mana wanita terbabit tidak menghiraukan teguran petugas dan pelanggan yang menyaksikan kejadian itu.

“PLUS ingin menegaskan seluruh kawasan R&R di sepanjang lebuhraya adalah kawasan larangan haiwan peliharaan untuk memastikan kebersihan dan keselesaan pelanggan lebuhraya.

“Justeru, PLUS memohon kerjasama semua pelanggan supaya mematuhi larangan terbabit demi keselesaan pelanggan yang lain,” katanya.

Susulan video tular kes memandikan anjing di Bilik Tukar Lampin di RnR Tapah. Pihak PLUS Malaysia telah mengambil tindakan samak segera. Papantanda dan poster haiwan peliharaan tidak dibenarkan juga diletakkan di perkarangan kawasan rehat.

 

 

Advertisements