PEMBEDAHAN jantung akibat masalah injap (Aortic Stenosis) membabitkan anak kedua pelakon, Lana Nodin iaitu William Daud Mckienzie, dua bulan ditangguhkan selepas jantung bayi itu terhenti selama 10 minit.

“Anak dibawa ke bilik pembedahan jam 2.30 petang tadi. Ketika persediaan pembedahan dibuat, secara tiba-tiba jantung anak berhenti.

“Kemudian doktor memberikan bantuan pernafasan resutasi kardiopulmonari (CPR). Selepas beberapa minit, jantung anak kembali berfungsi.

“Selepas itu, anak terus dibawa ke unit rawatan rapi (ICU) bagi pemantauan rapi selama 48 jam. Jadi, pembedahan anak tak boleh dibuat hari ini,” katanya.

Lana berkata, dia memohon orang ramai untuk mendoakan kesihatan dan kesejahteraan anaknya.

“Hanya Allah saja tahu perasaan saya apabila mendapat berita yang disampaikan suami. Ketika itu saya sedang solat.

“Saya berdoa semoga Allah permudahkan segala urusan. Saya juga mengharap bantuan orang ramai untuk sama-sama mendoakan anak,” katanya.

Terdahulu, anak kedua Lana dan suaminya, Mohd Daud McKienzie dimasukkan ke wad Institut Jantung Negara (IJN), di sini, semalam sebelum menjalani pembedahan yang dijadual petang tadi.

Advertisements