SHAH ALAM: Prosiding Inkues bagi mencari punca kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim disambung dengan keterangan saksi ketiga Ahmad Shahril Othman.

Dalam keterangannya ketika ditanya peguam yang mewakili keluarga Allahyarham Muhammad Adib, Mohd Kamaruzaman Wahab Ahmad Shahril menjelaskan ketika kejadian beliau yang juga pemandu kenderaan Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (ERMS) hanya dapat mengawal stereng ketika mengundur dan sebelah lagi tangannya mengawal pintu di untuk mengelakkan perusuh menyerang.

“Dalam keadaan mengundur tangan sebelah kanan saya mengawal stereng dan sebelah lagi mengawal pintu untuk elak perusuh membuka pintu dan menyerang,” katanya di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

Ketika jentera bomba Fire Rescue Tender (FRT) dan ERMS berundur jelas Shahril, beliau menyedari bahawa Allahyarham Muhammad Adib telah tiada di dalam kenderaan terbabit dan orang ramai di lokasi kejadian mula bersorak.

Bagaimanapun ekoran keadaan yang berbahaya beliau mengambil keputusan untuk kekal berada di dalam kenderaan terbabit.

Turut diceritakan, yang mana terdapat sepasukan anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian lebih awal dan dihalang oleh orang ramai untuk memadam kebakaran. Namun kumpulan terbabit jelas Ahmad Shahril tidak diserang.

“Sebelum kenderaan kami diserang, terdapat pasukan sama dari kumpulan kami yang hadir lebih awal turut diserang, dan dihalang orang ramai untuk memadam kebakaran tetapi keadaan terkawal tanpa sebarang serangan,” ujar Ahmad Shahril.

Dalam keterangan itu, turut digunakan kereta mainan bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian.

Turut dipanggil memberi keterangan pada hari ini merupakan saksi awam, Amirul Adli yang juga menceritakan gambaran ketika kejadian. 

Hadir sama dalam prosiding itu, Pengarah Jabatan Bomba Selangor, Azmi Osman serta abang kepada Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, Muhammad Asyraf Mohd Kassim