SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak permohonan injunksi dikemukakan 50 penganut Hindu di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, terhadap pemaju, One City Development Sdn Bhd, bagi menghalang syarikat itu daripada memasuki tanah tapak kuil dan merobohkannya.

Hakim Datuk Wong Kian Kheong dalam keputusan beliau turut menolak permohonan injunksi 50 plaintif itu untuk mendapatkan perintah penangguhan terhadap writ pemilikan oleh One City.

Kian Kheong dalam penghakimannya berkata, plaintif tidak boleh bersandarkan pada keputusan didakwa oleh EXCO negeri kerana geran milik One City termasuk dalam Seksyen 89(a) Kanun Tanah Negara.

Katanya, beliau tidak boleh menerima hujahan dalam permohonan itu berhubung dakwaan penipuan dan konspirasi oleh One City kerana syarikat pemaju itu sudah melaksanakan semua haknya berkaitan tanah berkenaan mengikut peruntukan Sub Seksyen 92(1), (2)(a) hingga (d) dan 304(1) Kanun Tanah Negara.

Kian Kheong berkata, mahkamah juga terpaksa menolak sebarang sandaran terhadap adat Hindu berbanding dengan peruntukan Kanun Tanah Negara.

Katanya, definisi undang-undang dalam Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan ‘Undang-undang’ termasuklah undang-undang bertulis, common law (undang-undang lazim) setakat yang berkuat kuasa di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, dan apa-apa adat atau kelaziman yang mempunyai kuat kuasa undang-undang di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya.

“Berdasarkan definisi itu, sebarang adat atau kelaziman hanya boleh dikuatkuasakan jika ia boleh dibuktikan bahawa adat dan kelaziman itu mempunyai kuasa undang-undang.

“Justeru, tidak ada bukti bahawa adat Hindu mempunyai kuasa undang-undang dalam kes ini. Selain itu, sebarang adat atau kelaziman tidak boleh melebihi peruntukan dalam Kanun Tanah Negara membabitkan hak pemilik tanah berdaftar yang dijamin mengikut Perkara 13(1) Perlembagaan,” katanya.

Kian Kheong turut menolak dengan kos permohonan plaintif untuk menangguhkan prosiding permohonan injunksi interlokutori itu sementara menunggu campur tangan Peguam Negara bagi menyelesaikan isu tapak kuil itu dengan baik.

Katanya, pada 22 Januari lalu, defendan kedua, Sime UEP Properties Bhd membantah permohonan penangguhan itu dan meneruskan prosiding permohonan pemaju berkenaan untuk membatalkan writ saman dan penyataan tuntutan kesemua plaintif bertarikh 21 November 2018.

Beliau berkata, plaintif gagal menunaikan tanggungjawab untuk memuaskan hati mahkamah bahawa wujud keadaan khas dalam kes itu bagi membolehkan perintah penangguhan.

Katanya, campur tangan Peguam Negara tidak boleh dianggap sebagai keadaan khas bagi penangguhan itu.

“Permohonan itu membabitkan tanah yang didaftarkan atas nama defendan kelima. Pemilikan dan hak defendan kelima terhadap tanah itu dianugerahkan melalui peruntukan Kanun Tanah Negara. Hak pemilikan sebegitu oleh defenden kelima terhadap tanah berkenaan dijamin oleh Perkara 13(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Mengikut Kanun Tanah Negara dan mana-mana undang-undang bertulis, Peguam Negara tidak mempunyai hak terhadap tanah berkenaan atau mana-mana tanah yang diasingkan dan kuasa untuk memperoleh ‘tanah’ mengikut Seksyen 3(1)(a) hingga (c) Akta Pengambilan Tanah 1960 terletak kepada ‘pihak berkuasa negeri’, yang bermaksud Raja atau Yang di-Pertua Negeri, yang mana berkenaan.

“Seksyen 2(1) Akta Pengambilan Tanah menyatakan ‘tanah’ juga termasuk ‘tanah yang diasingkan’ seperti tanah dalam kes ini. Peguam Negara tidak mempunyai kuasa untuk memperoleh tanah itu mengikut Seksyen 3(1)(a) hingga (c) Akta Pengambilan Tanah,” katanya.

Mahkamah sama juga membenarkan tiga set permohonan dengan kos oleh defendan kedua, ketiga dan keempat, iaitu Pengarah Perancang Bandar dan Desa serta Kerajaan Selangor dan defendan kelima, untuk membatalkan permohonan injunksi interlokutori yang dikemukakan terhadap mereka.

Kian Kheong juga memerintahkan supaya Pendaftar Mahkamah membuat penilaian ganti rugi yang dialami One City, berdasarkan kepada penilaian dikemukakan syarikat itu, faedah pada kadar lima peratus dari tarikh penilaian hingga ke tarikh penyelesaian penuh dan kos penilaian yang dinilai oleh Pendaftar Mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan 5 Mac depan sebagai tarikh pendengaran ganti rugi dan kos.

Pada 19 November lalu, 50 penganut Hindu di Kuil Sri Maha Mariamman memfailkan permohonan injunksi interlokutori terhadap tujuh plaintif, iaitu pengerusi jawatankuasa kuil itu, K Chellappa; Sime UEP Properties; Pengarah Perancang Bandar dan Desa Selangor; Kerajaan Selangor; One City Development; bekas pemegang amanah, N Merganathan, dan bekas pengerusi jawatankuasa sementara kuil itu, M Nagaraju.

Ia antara lain memohon injunksi interlokutori untuk menghalang One City daripada mendekati kuil itu dengan tujuan merobohkannya sehingga permohonan itu selesai; satu perintah penangguhan pelaksanaan writ pemilikan bertarikh 14 November 2017 yang diperoleh defendan kelima; dan satu pengisytiharan bahawa penghakiman bersama bertarikh 11 Mac 2014 tidak sah dan diketepikan.

Selain itu, satu pengisytiharan bahawa semua defendan atau dua atau lebih daripada mereka bersama-sama pihak lain berkonspirasi dalam dakwaan konspirasi yang dinyatakan plaintif atau defendan pertama dan kelima melakukan penipuan dan/atau berkonspirasi atau defendan pertama dengan curangnya membantu atau bersubahat dengan defendan kelima untuk mencapai objektif konspirasi; serta satu perintah bahawa defendan pertama dan kelima membayar pampasan dengan kos kepada plaintif.

Advertisements