DATUK Dr. Sheikh Muszaphar Shukor tampil memberi penjelasan mengenai bentuk sebenar bumi seperti yang menjadi keraguan segelintir pihak.

Menurut Sheikh Muszaphar, sebagai Angkasawan Islam yang kesembilan menerokai angkasa lepas, adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk  menceritakan fakta sebenar.

Atas nama Allah, doktor bedah ortopedik itu berkata, catatan yang dikongsi merupakan apa yang datang dari hatinya.

Sekalipun tidak merujuk kepada mana-mana pihak, namun penjelasan Sheikh Muszaphar itu dipercayai sebagai menyahut cabaran penyanyi nasyid, Suhaimi Saad yang mencabar Angkasawan Negara itu untuk bersumpah dengan nama Allah bahawa bumi berbentuk bulat sfera.

Bercerita pengalaman selama 12 hari pada 2007, Sheikh Muszaphar berkata, beliau terlalu kagum melihat angkasa lepas ciptaan Allah sehingga sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

Sheikh Muszapahar berkata, berdasarkan pengalaman di angkasa lepas, beliau melihat bumi berbentuk sfera atau lebih tepat, geo-sfera selain tertumpu di kutub dan membonjol di garisan Khatulistiwa.

“Bentuknya bukan seperti bola, lebih seperti telur. Setiap orang harus ke angkasa lepas jika diberi peluang.

“Ia mengubah perspektif anda mengenai kehidupan secara total, menjadikan anda lebih yakin dengan Pencipta. Pengalaman (di angkasa lepas) angat mengagumkan dan spektakular.

“Sukar sebenarnya untuk mengubah pemikiran golongan ‘flat earth’ (yang mempercayai bentuk bumi ini rata). Tetapi saya di sini berkongsi pengalaman terhadap apa yang saya lihat,” kata Sheikh Muszaphar dalam entri yang dimuat naik pagi Jumaat.

Suhaimi dalam entri di laman Facebook baru-baru ini mencabar Sheikh Muszaphar untuk bersumpah dengan memperakui bahawa bentuk bumi itu sememangnya sfera dan bukanlah rata seperti yang dibincangkan hebat oleh kebanyakan ilmuwan dunia.

Status Suhaimi itu menyebabkan dia dikecam teruk oleh netizen.

Sementara itu, penjelasan Sheikh Muszapahar juga diikuti dengan cerita pengalaman mengelilingi bumi sebanyak 16 kali sehari.

“Setiap 45 minit matahari terbit dan terbenam mengelilingi Orbit dengan kelajuan 27000km/hr.

“Laungan Azan kedengaran seketika. Bibir terkumat kamit terpegun dengan kebesaran Ilahi. Melihat Bumi dengan mata sendiri. Degupan jantung berhenti seketika. Meremang Bulu Roma. Mata tidak terkebil melihat kebesaran Maha Pencipta. Amat sukar untuk digambarkan suasana di angkasa lepas,” katanya lagi.

Advertisements