PELAKON dan pengarah Datuk Farid Kamil mengakui terpaksa membatalkan hasratnya untuk menyambung pelajaran bersama isterinya, Datin Diana Danielle di luar negara sekiranya gagal mendapatkan pasport daripada mahkamah.

Menurut Farid, dia berharap agar perbicaraan kes terhadap dirinya dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat dan terpaksa melupakan hasrat sekiranya mahkamah menetapkan untuk tidak memulangkan pasportnya.

“Kami merancang untuk mengikuti kursus pengajian selama tiga bulan di Gold Coast, Australia pada tahun ini.

“Namun buat masa sekarang pasport saya masih di mahkamah dan saya berharap agar perbicaraan kes ini dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

“Saya harus mendapatkan pasport semula dan jika permohonan itu gagal saya tidak akan dapat meneruskan pengajian itu bersama isteri.

“Mungkin saya akan tinggal di Malaysia dan isteri serta anak-anak akan menetap di sana selama tiga bulan,” katanya kepada Gempak.

Farid berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media All Riders Gathering SPARK, di Nenda by Sarimah, pada Khamis.

Terdahulu, pada 25 Januari 2018, Farid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistreet di sini kerana menggunakan dadah THC yang juga dadah terdapat pada ganja di Pejabat Narkotik, IPD Petaling Jaya jam 4:30 petang, 11 Januari tahun lalu.
 
Farid dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 31 Januari lalu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor menetapkan tarikh perbicaraan baru selepas peguam Farid, Megat Syazlee Mokhtarom masih dalam tempoh bercuti akibat kemalangan.

Majistret Nor Ariffin Hisham menetapkan 27 Februari serta 13, 14, dan 15 Mac depan untuk perbicaraan kes.

Advertisements