PUTRAJAYA: Seorang setiausaha pejabat di sebuah kementerian direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima suapan dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Mahkamah Putrajaya Ahmad Afiq Hasan bermula hari ini hingga 19 Februari.

Menurut sumber, wanita berusia 39 tahun tersebut ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada kira-kira pukul 6.50 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas hadir memberi keterangan.

Tambah sumber lagi, wanita tersebut disyaki meminta dan menerima suapan bernilai RM1.5 juta daripada sebuah syarikat hartanah kononnya sebagai dorongan untuk mendapatkan persetujuan daripada Timbalan Ketua Setiausaha bagi meluluskan pembelian aset kerajaan di luar negara.

Wanita berusia 39 tahun ditahan SPRM di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Katanya, siasatan kes tersebut dijalankan  mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta SPRM 2009.

Advertisements