PENYANYI nasyid Suhaimi Saad mendakwa, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor tidak menyahut cabarannya untuk bersumpah mengatakan bumi ini berbentuk sfera.

Sebaliknya, katanya, Angkasawan Negara itu hanya menyebut lafaz zikir apabila menegaskan menerusi akaun Instagram beliau bahawa bumi ini memang berbentuk sfera.

“Apa pun, terima kasih doktor ya, sebab sudi respon,” kata Suhaimi hari ini menerusi akaun Facebooknya yang menggunakan nama Mosus.

Dia turut menambah tanda pagar #tiadasumpah #cumarespon dan #takfahammaksudsumpah di hujung ayatnya. 

“Mungkin Dr tak berapa jelas apa yang SS (Suhaimi Saad) maksudkan dengan sumpah. Walaupun sebenarnya SS dah tulis dengan jelas.

“MasyaAllah SubhanAllah dan In the name of Allah bukan lafaz sumpah. Itu zikir biasa. Takpalah. SS cuma cabar sahaja. SS tak paksa pun Dr sumpah. Mungkin Dr tak suka bersumpah. #husnuzon,” katanya.

Oleh itu, kata Suhaimi, dia tidak akan menghentikan kajiannya dan akan terus berpegang pada fahamannya yang antara lain mempercayai bahawa saiz matahari dan bulan adalah hampir sama. 

Dia juga katanya tidak dapat menyampaikan dakwah kepada golongan ‘Flat Earth’ yang mempercayai bumi ini sebenarnya rata.

Terdahulu hari ini, Sheikh Muszaphar tampil memberi penjelasan mengenai bentuk sebenar bumi yang menjadi keraguan segelintir pihak. 

Pada Rabu, Suhaimi menerusi Facebooknya mencabar Angkasawan Negara bersumpah mengatakan: “Bumi ini bulat sfera. NASA bercakap benar.”

Dia juga meminta netizen menunjukkan kepadanya di mana langit dunia seperti disebutkan dalam Al-Quran menerusi Surah al-Mulk, jika benar bumi ini sfera.

Advertisements