KUALA LUMPUR: Tiket Konsert Dayang Dua Dekad yang bakal berlangsung 21 Julai ini di Istana Budaya habis terjual dalam tempoh tujuh jam.

Menurut Produser Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim selaku penganjur, sejumlah 1,400 tiket ditawarkan bermula dari harga RM125 hingga RM695.

Penjualan tiket menerusi myticket.asia yang bermula jam 2 petang itu hanya berbaki 20 tiket berharga RM695 pada pukul 7.20 petang tadi.

Sementara itu, Dayang Nurfaizah ketika dihubungi terkejut dengan sambutan peminat terhadap konsert solonya itu.

“Saya amat bersyukur dan gembira dengan sambutan yang diterima. Terima kasih kepada semua peminat-peminat yang sejak 20 tahun lalu kekal setia mendokong Dayang dalam industri ini.

“Dayang amat teruja menantikan malam tersebut dan akan memberikan yang terbaik kepada semua peminat-peminat,” katanya.

Bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-38 pada 20 Julai, Dayang menyifatkan konsert yang tersebut sebagai hadiah hari jadi paling bermakna itu.

Advertisements