WASHINGTON: Berat badan Presiden Donald Trump bertambah sedikit berbanding tahun lalu dan memerlukan dos ubat kolesterol lebih tinggi, tetapi ‘kesihatannya masih amat baik’, kata doktor rasminya semalam.

Dr Sean Conley berkata, Trump, 72, lulus pemeriksaan kesihatannya minggu lalu dengan cemerlang.

“Penilaian saya menunjukkan presiden kekal dalam kesihatan amat baik secara keseluruhan,” katanya dalam taklimat ringkas.

Trump, yang membingungkan pakar kesihatan kerana gemarkan makanan ringan dan enggan bersenam, mempunyai berat badan 110 kilogram, menurut laporan.

Ia mencatatkan sedikit peningkatan berbanding 108 kilogram tahun lalu, yang memang dianggap berat berlebihan.

Kadar degupan jantung juga meningkat pada 70 degupan seminit, berbanding 68 tahun lalu.

Trump mempunyai sejarah kolesterol tinggi dan tahun ini, dos ubat antikolesterol, Rosuvastatin, dinaikkan daripada 10 miligram sehari kepada 40 miligram, kata Conley.

“Tiada penemuan penting atau perubahan kepada laporan mengenai pemeriksaan fizikal, termasuk mata, telinga, hidung, mulut, gigi dan gusi, jantung, paru-paru, kulit, usus dan sistem saraf,” menurut laporan perubatan Conley. — AFP

Advertisements