CHERAS: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila disamun ketika menaiki lif di Stesen MRT Taman Mutiara, di sini, pagi Khamis lalu.

Kejadian jam 6.45 pagi itu dirakamkan Kamera Litar Tertutup (CCTV) dalam lif berkenaan dan tular di media sosial.

Berdasarkan rakaman berdurasi 55 saat itu, mangsa berusia 48 tahun yang menggalas sebuah beg dan memegang beg tangan dilihat masuk ke dalam lif disusuli seorang lelaki.

Suspek terus membelasah mangsa tanpa belas kasihan walaupun mangsa dilihat merayu dan cuba mempertahankan dirinya.

Suspek yang memakai baju-T berwarna gelap itu kemudian merentap beg tangan mangsa sambil memegang bahagian bahagian belakang baju wanita itu.

Biarpun pintu lif sudah terbuka pada saat ke-24 video berkenaan, suspek dilihat menekan semula butang tutup pada lif berkenaan sebelum terus membelasah wanita itu dan menendangnya beberapa kali.

Sebaik lif tiba di aras bawah, suspek meluru keluar dari lif berkenaan dan mencampakkan semula beg tangan wanita itu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, kejadian mengakibatkan wanita itu mengalami bengkak di dahi serta kesakitan pada bahagian badan dan mendapat rawatan sebagai pesakit luar.

“Barangan milik mangsa yang hilang dalam kejadian itu adalah kad pengenalan, kad bank dan wang tunai RM400.

“Kita juga sudah merakam percakapan tiga orang saksi bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, usaha mengesan suspek masih dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Advertisements