KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi amaran kepada pengundi pos bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih supaya tidak merakam gambar kertas undi pos dan menyebarkannya di mana-mana laman media sosial.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun, berkata pengundi pos yang melanggar arahan itu berdepan tindakan undang-undang dan hukuman sewajarnya jika didapati bersalah.

“Pengundi diingatkan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial.

“SPR turut mengingatkan pengundi pos menanda kertas undi yang diterima dengan betul dan mengembalikannya segera kepada Pegawai Pengurus PRK DUN Semenyih sebelum jam 5 petang pada hari pengundian 2 Mac ini,” katanya dalam satu kenyataan media, malam tadi.

Azhar Azizan berkata, SPR mengeluarkan 234 kertas undi pos bagi PRK DUN Semenyih membabitkan beberapa kategori iaitu pemilih tidak hadir (PTH) luar negara, petugas pilihan raya membabitkan polis dan tentera serta warganegara di luar negara.

Katanya, seramai 32 pengundi termasuk dalam kategori PTH yang merangkumi penjawat awam bertugas di luar negara bersama pasangan serta pelajar sepenuh masa dan pasangan mereka.

Beliau berkata, pengundi PTH berada di Australia, Jerman, Romania, Russia, Iran, Austria, India, Maghribi, Jepun, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Brunei.

“Kategori petugas pilihan raya membabitkan 199 orang masing-membabitkan 106 orang petugas pilihan raya dan 93 orang anggota polis Pasukan Gerakan Am (PGA).

“SPR turut menerima tiga permohonan undi pos daripada warganegara yang berada di luar negara masing-masing di Korea Selatan dan Jepun.

“Tiada kertas undi pos dikeluarkan bagi petugas kesihatan dan keselamatan kerana tiada permohonan diterima,” katanya.

Beliau berkata, kertas undi pos berkenaan diserahkan kepada pihak Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) untuk disampaikan kepada pengundi pos terbabit semalam, manakala kertas undi pos PGA diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk diserahkan kepada pengundi layak.

Katanya, proses pengeluaran kertas undi pos dijalankan dengan disaksikan wakil calon daripada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Bebas.

Azhar berkata, SPR turut menjemput pemerhati pilihan raya yang dilantik untuk menyaksikan proses pengeluaran kertas undi pos itu iaitu Malaysia Corruption Watch (MCW), Tindak Malaysia dan Institut Darul Ehsan (IDE).

Advertisements