IPOH: Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) memperkenalkan model bisnes baharu iaitu kemasukan secara percuma kepada pengunjung di taman tema animasi Movie Animation Park Studios (MAPS) di Bandar Meru Raya di sini mulai 1 Mac ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, para pengunjung hanya perlu membayar menerusi sistem kupon sekiranya mahu bermain permainan atau menonton persembahan di taman tema tersebut.

“Model bisnes baharu ini dilaksanakan setelah mengambil kira keluhan rakyat yang merasakan harga tiket masuk ke MAPS agak tinggi dan di luar kemampuan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar memperkenalkan model bisnes baharu MAPS di sini hari ini.

Majlis dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MAPS, Shafeii Abdul Gaffor.

Di bawah model bisnes baharu, kupon yang berharga serendah RM3 disediakan selain dua bentuk tiket istimewa.

Tiket berkenaan ialah MAPS Passport berharga RM80 untuk pengunjung menaiki setiap permainan dan tarikan di MAPS untuk sekali saja dengan tempoh sah adalah selama 30 hari.

Satu lagi tiket ialah MAPS Infinite Pass yang mana pengunjung boleh menaiki dan menikmati setiap tarikan di MAPS seberapa banyak kali yang mereka mahu dalam tempoh sehari.

Waktu operasi MAPS mulai 1 Mac ini ditetapkan mulai pukul 4 petang sehingga 12 malam pada hari Isnin, Selasa dan Khamis.

Hari Jumaat dan hujung minggu, MAPS akan beroperasi bermula pukul 10 pagi sehingga 12 tengah malam.

Ahmad Faizal berkata, model bisnes baharu itu akan meningkatkan lagi kedatangan pengunjung ke taman tema tersebut.

“MAPS menyasarkan kunjungan seramai 1 juta dalam tempoh Mac sehingga penghujung tahun ini,” katanya.

Advertisements