CYBERJAYA: Cadangan penyenaraian semula QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands) di Bursa Malaysia berjalan mengikut jadual dan pengendali restoran makanan popular Kentucky Fried Chicken (KFC) itu dijangka disenaraikan semula pada separuh pertama tahun ini, demikian menurut Pengarah Urusannya, Datuk Sri Mohamed Azahari Mohamed Kamil.

“Ya,” jawabnya ringkas apabila ditanya sama ada penyenaraian semula syarikat itu berjalan dengan baik dan akan berlaku pada separuh pertama tahun ini.

Bagaimanapun, Mohamed Azahari enggan memperincikan perkara itu dan meminta menunggu pengumuman daripada Pengerusi syarikat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara QSR Stores Sdn Bhd dan Aspen Entity Sdn Bhd di sini, hari ini.

QSR Stores adalah anak syarikat milik penuh QSR Brands, manakala Aspen Entity adalah anak syarikat HCK Capital Group Bhd.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Elsekutif Bahagian Hartanah HCK Properties Sdn Bhd, Foong Peng Yew dan Ketua Pegawai Operasinya, Dr Dennis Ling.

Oktober tahun lalu, syarikat itu memfailkan draf prospektus cadangan penyenaraian semula sahamnya di Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang mana menawarkan 1.465 bilion saham untuk dijual dalam tawaran awam permulaan (IPO), termasuk terbitan awam 70 juta saham baharu QSR Brands.

Dana yang bakal dijana daripada IPO itu akan digunakan terutama bagi mengembangkan perniagaan KFC dan Pizza Hut.

Apabila penyenaraian itu selesai, Johor Corp dijangka menguasai 33.3 peratus kepentingan langsung dalam QSR Brands, BDO Assets Management Sdn Bhd ( 9.8 peratus) dan JCorp Capital Excellence Sdn Bhd (7.9 peratus).

Di bawah MoA yang dimeterai semalam, HCK Capital akan membina bangunan khusus di Edusphere Cyberjaya dan akan memajakkan kepada QSR Brands untuk dijadikan restoran KFC pandu lalu pertama di Cyberjaya.

Ia dijangka beroperasi pada suku pertama 2021.

Advertisements