Jakarta: Seorang wanita di Indonesia menjadi popular di media sosial selepas berkongsi videonya menjilat dan memakan pelbagai jenis sabun mandi serta memberi ulasan produk mana yang lebih sedap.

Khosik Assyifa, 21, berasal dari Jawa Timur menjadi popular di media sosial selepas berkongsi tabiat makanan peliknya di Instagram.

Wanita itu memuat naik video menunjukkan dia menjilat dan memakan beberapa sabun mandi serta memberi ulasan mengenai rasanya.

Apa yang menariknya, Khosik bukan menjilat sabun mandi itu dengan hujung lidahnya tetapi dia menjilat dan memakannya seperti aiskrim.

Dalam satu temu bual dengan portal Ngopibareng, Khosik berkata, tabiat peliknya bermula apabila dia mengidam untuk memakan sabun mandi ketika mengandung anak sulung kira-kira dua tahun lalu.

“Saya mula memakan sabun dengan wangian buah-buahan ketika mandi dan terus menyukai rasanya. Bagaimanapun, saya malu untuk memberitahu suami saya hinggalah video saya tular di media sosial,” katanya.

Menurutnya, dia tidak pernah mengalami sakit atau kembung perut dan loya sepanjang memakan ‘makanan’ kegemarannya itu.

Khosik memberitahu, kali pertama dia memuat naik video memakan sabun kira-kira dua minggu lalu sebagai satu gurauan tetapi tidak menyangka ia menjadi popular dan ditonton lebih 260,000 kali serta mendapat beribu-ribu ‘like.’

Sejak itu Khosik memuat naik dua lagi video menunjukkan dia memakan dua jenama sabun mandi termasuk yang dicadangkan oleh pengikutnya.

Advertisements