SANDAKAN: Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menafikan dakwaan kononnya beliau bersama pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhibur ketika dalam lawatan ke Turki, baru-baru ini.

Mohamad Fuzi menegaskan, lawatan itu ditaja sepenuhnya oleh Lembaga Totalisator Malaysia, iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan.

Lawatan kerja itu, katanya, untuk mendapatkan maklumat, berbincang dan mempelajari khususnya isu militan IS, menangani jenayah perjudian, pemerdagangan manusia dan jenayah rentas sempadan.

“Ia bukan pertama kali dibuat (lawatan bagi tujuan sama) dan tidak kurang daripada lima kali sudah dijalankan. Lawatan ini juga mengikut proses yang telah ditetapkan iaitu kita buat permohonan kepada agensi pengawal kita yang berkaitan, antaranya Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Jadi banyak perkara yang disebut dalam itu (dilaporkan) tidak benar sama sekali terutama dakwaan kami berhibur, berjudi, bermewah dan menyalahgunakan dana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Buku Panduan Siasatan Jenayah Agen Kimia, Biologikal, Radiologikal, Nuklear dan Letupan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (KBSJ) Sabah dan Sarawak di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd; Timbalan Pengarah JSJ (Risikan / Operasi) Datuk Huzir Mohamed dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah.

Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi berkata, PDRM akan mengemukakan laporan lengkap kepada KDN berhubung dapatan daripada hasil lawatan berkenaan.

“Lawatan itu tiga hari saja dan saya tidak tahu bagaimana isu Da Ma Cai (syarikat perjudian) tiba-tiba muncul,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendedahkan Lembaga Pengarah Lembaga Totalisator Malaysia telah meluluskan permohonan lawatan kerja itu pada 23 November 2017 dengan jumlah RM184,648 iaitu sebelum beliau dilantik menjadi Menteri Kewangan.

Sebelum itu Guan Eng dilaporkan berkata, rombongan lawatan kerja itu ditaja oleh Da Ma Cai susulan beberapa gambar Mohamad Fuzi dan beberapa pegawai kanan PDRM di Turki tersebar di laman sosial.

Advertisements