ROMPIN: Penganggur warga Kemboja dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan, di sini, bulan lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Mohd Amirul Abdullah, 23, yang berasal dari Kampung Parit Tengah, Pekan, ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Azizah Ahmad.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Siti Masitah Ibrahim yang juga kanak-kanak warga Kemboja antara jam 5.50 petang hingga 8 malam di kawasan padang ragut Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan, pada 30 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syamsul Kahar Ahmad Nadri, manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Deniel Roslan.

Majistret menetapkan 25 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Mengikut fakta polis, mayat Siti Masitah ditemui kira-kira jam 4 Petang, 9 Februari lalu, dalam keadaan tidak sempurna dipercayai sudah dibunuh dalam tempoh lebih seminggu.

Dia dilaporkan hilang oleh keluarganya pada jam 5 petang, 30 Januari lalu sebelum membuat laporan polis pada hari sama.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nanyan memaklumkan, suspek lelaki berusia 23 tahun ditahan pada jam 2 pagi, 31 Januari lalu bagi membantu siasatan kehilangan Siti Masitah, sebelum suspek membuat pengakuan membunuh mangsa akibat dendam.

Hasil bedah siasat mendapati Siti Masitah mengalami kecederaan parah di kepala yang membawa kepada kematiannya.

Advertisements