AKIBAT salah faham kerana menyangkakan seorang lelaki mahu mencuri wang tabung masjid, seorang ahli jawatankuasa (AJK) sebuah masjid dekat Desa Jaya Kepong, di Gombak, menampar mangsa beberapa kali.

Kejadian berlaku pada 8.30 malam 10 Februari lalu, namun video kejadian itu mula tular sejak semalam, yang memaparkan lelaki berkopiah ditampar lelaki yang lebih dewasa daripadanya.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, mangsa yang berusia 18 tahun sebenarnya diarahkan individu lain yang juga seorang AJK masjid sama untuk mengambil wang berkenaan, namun berlaku salah faham.

“Susulan kejadian itu, seorang lelaki berusia 38 tahun membuat laporan polis pada 14 Februari mendakwa adiknya seorang lelaki yang mempunyai masalah lembam ditampar sebanyak tiga kali oleh AJK masjid berkenaan.

“Abangnya hanya mengetahui perkara itu pada 12 Februari ketika berada di rumah dan kejadian dipercayai berlaku di masjid terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, punca kejadian akibat salah faham yang mana suspek menyangka mangsa mengeluarkan wang tabung masjid tanpa kebenaran.

“Sebaliknya mangsa diarahkan seorang AJK untuk mengeluarkan wang derma untuk dikira.

“Suspek bertindak secara terburu-buru dan mengambil tindakan sendiri tanpa menyiasat terlebih dahulu.

“Mangsa dibawa ke Hospital Selayang oleh pegawai penyiasat (IO) kes untuk rawatan dan menurut doktor yang merawat mangsa, dia tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal,” katanya.

Menurut beliau, siasatan mengenai kejadian ini masih dijalankan dan ia disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Advertisements