KUALA LUMPUR: Seorang rakyat Malaysia dijatuhkan hukuman penjara lima tahun di Australia kerana didapati bersalah menyeludup lebih enam juta batang rokok ke negara itu

Australian Border Force (ABF), dalam satu kenyataan kelmarin, berkata rokok dari Malaysia itu disembunyikan di bawah barangan lain bagi mengelak duti import lebih AUD$4 juta (RM11.6 juta)

Berdasarkan kenyataan itu, pada 10 Ogos 2017, tiga rakyat Malaysia di kesan sedang membuka bungkusan rokok berkenaan di sebuah kawasan kilang dan ditahan sebelum didakwa di bawah Customs Act 1901.

Pada 13 Ogos 2017 pula, dua daripada mereka ditahan ketika cuba meninggalkan Australia dan didakwa atas tuduhan melakukan penyeludupan lebih enam juta batang rokok.

Salah seorang daripada mereka mengaku bersalah ketika dihadapkan ke Melbourne County Court dan pada 20 Februari lalu dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dengan syarat tiada parol bagi tempoh tiga tahun serta akan diusir dari Australia apabila dibebaskan nanti.

Individu kedua juga mengaku bersalah terhadap tuduhan sama dan akan dijatuhkan hukuman pada April ini.

ABF berkata tangkap itu membuktikan komitmen kerajaan Australia menerusi Illicit Tobacco Taskforce (ITTF) untuk mengesan, membanteras dan mematahkan sindiket yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan seumpamanya.

Tahun lalu, ABF dilaporkan mengesan 110,000 cubaan menyeludup produk tembakau haram merentasi sempadan membabitkan hampir 240 juta batang rokok dan 217 tan tembakau, dalam cubaan mengelak pembayaran cukai lebih AUD$356 juta (RM1 bilion).

Advertisements