KUALA LUMPUR: Kempen petisyen mewajibkan pengambilan vaksin Program Imunisasi Kebangsaan oleh Medical Mythbusters Malaysia (M3) mencapai sokongan luar jangka dalam tempoh dua hari dilancarkan.

Sehingga jam 5 petang tadi, sebanyak 106,599 tandatangan dikumpul selepas M3 yang dianggotai sekumpulan pegawai, pakar dan kakitangan perubatan mengambil inisiatif pertama mengadakan usul itu di laman www.change.org, kelmarin.

EXCO Kesihatan Am M3, Dr Mohd Fadhli Mohd Fauzi, berkata sokongan yang memberangsangkan menunjukkan masyarakat memandang serius isu penularan penyakit cegahan vaksin dan mahukan kerajaan melakukan sesuatu dengan segera.

“Ia juga menjadi petanda bahawa kerajaan mempunyai sokongan besar daripada rakyat Malaysia untuk memastikan usul mewajibkan vaksin Program Imunisasi Kebangsaan menjadi kenyataan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Jururawat Lelaki Malaysia (MMN), Khuzairol Hamzee, berkata vaksinasi mampu membendung kemudaratan kesihatan dalam masyarakat dan diperlukan semua pihak.

“Imuniti Kelompok (Herd Immunity) diperlukan semua dan ia bertepatan dengan Maqasid Syariah serta moral kehidupan di negara ini yang mengutamakan kepentingan bermasyarakat serta memelihara generasi hadapan,” katanya.

Kempen bertujuan mengumpul sokongan umum itu diwujudkan berikutan peningkatan penularan penyakit cegahan vaksin seperti demam campak (measles) dan difteria yang dikesan semakin mengancam kesihatan rakyat Malaysia hari ini.

Inisiatif M3 itu turut disokong oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain seperti Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), Public Health Malaysia, Delegation of Nurses Malaysia, The Dressar & Co, IKRAM Health, Ikatan Pengamal Perubatan & Kesihatan Muslim Malaysia (i-Medik), Persatuan Pakar-Pakar Perubatan Keluarga Malaysia (FMSA) dan Malaysian Male Nurses (MMN).

Orang ramai boleh menandatangani petisyen itu di pautan, http://chng.it/Nw4pZSdx(www.change.org) sebagai tanda sokongan.

Advertisements