Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata keputusan itu dibuat Lembaga Pengarah TH selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk berdasarkan keupayaan dan kedudukan unjuran kewangan TH bagi tahun ini.

Katanya, keputusan itu diambil selepas beliau melakukan beberapa perbincangan bersama TH berikutan pelbagai dakwaan mengelirukan timbul, terutama berhubung isu kos jemaah yang membuat rayuan haji meskipun pada masa itu, isu berkenaan masih belum dimuktamadkan.

Isu subsidi itu timbul susulan jawapan daripada pentadbir akaun Facebook TH baru-baru ini ketika menjawab komen pengguna dalam satu hantaran yang mana dinyatakan subsidi haji hanya diberi kepada bakal jemaah terpilih bagi tahun semasa.

Turut dimaklumkan dalam jawapan itu ialah mereka yang berjaya sebagai pengiring dan mereka yang berjaya membuat rayuan menunaikan haji daripada tahun yang diperuntukkan tidak layak mendapat subsidi haji.

Pada 14 Februari lalu, Mujahid mengumumkan bayaran menunaikan haji bagi jemaah haji muassasah yang menunaikan haji kali pertama kekal RM9,980 dengan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM12,920.

Kos menunaikan haji tahun ini sebanyak RM22,900 berbanding RM22,450 pada musim lalu.

Advertisements