NEW DELHI: Ketegangan antara India dan Pakistan kembali memuncak, semalam, selepas tentera kedua-dua negara berjiran itu berbalas tembakan dan mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh orang di kedua-dua belah pihak di sempadan Kashmir.

Seteru kuasa nuklear itu melepaskan tembakan mortar dan meriam artileri ke arah satu sama lain walaupun selepas juruterbang India yang pesawatnya ditembak Pakistan dihantar pulang.

Dalam tempoh 24 jam lalu, dua tentera dan dua penduduk awam maut di Pakistan, kata tentera negara itu. Di India, seorang wanita dan dua anak mangsa maut, selepas rumah mereka musnah dalam serangan mortar.

Penduduk kampung di kedua-dua kawasan Kashmir iaitu kawasan dikawal India dan Pakistan melarikan diri ke kubu bawah tanah, sementara polis mengarahkan kenderaan tidak penting supaya tidak menggunakan jalan raya.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 12 penduduk awam maut di kedua-dua negara, sejak pertempuran awal minggu ini. – AFP

Advertisements