KUANTAN: Kilang vaksin halal pertama di negara ini bakal dibina di Negeri Sembilan tidak lama lagi bagi menjadikan Malaysia sebagai antara negara pengeluar vaksin utama dunia.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, berkata walaupun pembinaan kilang itu akan mengambil masa untuk disiapkan, ia adalah langkah terbaik boleh dilakukan kerajaan untuk meningkatkan keyakinan ibu bapa terhadap vaksin yang dikeluarkan serta diberikan kepada anak-anak mereka.

“Apabila siap dan beroperasi kelak, sudah pasti ia dapat meningkatkan pengeluaran vaksin untuk kegunaan dalam negara dan boleh meletakkan nama Malaysia di pentas antarabangsa sebagai antara negara pengeluar vaksin yang diyakini.

“Kita harap selepas ini tidak timbul lagi isu ibu bapa yang enggan membenarkan anak mereka disuntik dengan vaksin kerana vaksin dihasilkan di kilang berkenaan adalah halal dan berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Progam Larian Sepat Run Fresh and Fun di Pantai Sepat di sini, hari ini.

Semalam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memaklumkan pihaknya akan terbabit secara langsung dalam menentukan dan memutuskan fatwa berkaitan suntikan vaksin dan imunisasi bagi kanak-kanak yang menjadi isu hangat di kalangan ibu bapa.

Isnin lalu, media turut melaporkan beberapa pihak termasuk Persatuan Doktor Islam Malaysia dan I Medik Malaysia menyarankan langkah itu dilaksana bagi melindungi kesihatan kanak-kanak daripada penyakit yang boleh dicegah seperti difteria dan campak.

Ini berikutan kes seorang kanak-kanak berusia dua tahun di Johor yang disahkan tidak pernah menerima suntikan vaksin difteria meninggal dunia minggu lalu akibat penyakit itu.

Lima lagi kanak-kanak yang dilaporkan pernah berada dan berhubung terus dengan mangsa juga disahkan positif penyakit berkenaan.

Sementara itu, Fuziah berkata persoalan mengenai status halal vaksin yang digunakan ketika ini tidak sepatutnya berlaku kerana setiap vaksin yang dihasilkan ketika ini sudah melalui kajian teliti oleh pakar perubatan berkelayakan.

“Tidak ada isu vaksin yang digunakan sekarang ini halal atau tidak… semuanya dihasilkan oleh pakar dan melalui kajian terperinci serta terbukti berkesan kepada kanak-kanak yang mengambilnya.

“Sebenarnya ia adalah pandangan ibu bapa yang memang menolak vaksin itu sendiri… jadi, apabila kita sudah ada kilang vaksin sendiri, perkara seperti ini tidak patut berulang,” katanya.

Advertisements