SUNGAI BULOH: KIP Group of Companies merancang untuk membuka tiga pusat beli belah baharu dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Valerie Ong, berkata tiga pusat beli belah itu masing-masing akan dibina di Raub dan Kuantan serta satu lagi di Sungai Petani, Kedah.

Katanya, ketiga-tiga projek itu akan dibangunkan membabitkan kos pembangunan kasar (GDC) berjumlah RM150 juta.

“Ini akan menjadikan jumlah keseluruhan pusat beli belah yang dimiliki dan diuruskan oleh kumpulan sebanyak 12 termasuk tiga yang baharu ini,” katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah pembinaan pusat beli belah kesembilannya, KipMall di Desa Coalfields di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusannya, Datuk Chew Lak Seong.

Mengulas mengenai pusat beli belah KipMall di Desa Coalfileds itu, Valerie berkata, projek setinggi dua tingkat setengah dengan GDC sebanyak RM50 juta itu dibina di atas tapak seluas tiga hektar.

Katanya, ia mempunyai keluasan lantai kasar sebanyak 244,155 kaki persegi dengan ruang sewaan berjumlah 141,869 kaki persegi dengan turut menyediakan 436 ruang parkir kereta dan 240 parkir motosikal.

“Pusat beli belah ini dijangka akan siap dibina pada suku keempat tahun ini dan setakat ini 80 peratus ruang niaga sudah berjaya disewakan.

“Antara penyewa termasuk Econsave sebagai penyewa utama, MR DIY, KFC, Watsons dan Metro Optical Group. Kami menjangkakan, selepas setahun pusat beli belah ini beroperasi, 90 peratus ruang niaganya akan dapat disewakan,” katanya.

Ditanya mengenai trend pengguna masa kini yang gemar membeli belah di dalam talian dan kesannya kepada KIP Group, Valerie berkata buat masa ini budaya membeli belah dalam talian di Malaysia masih rendah iaitu di antara satu ke dua peratus sahaja.

“Angka ini masih rendah dan rakyat Malaysia masih cenderung untuk membeli belah di pusat beli belah kerana mahu berjalan-jalan menikmati suasana sejuk pendingin hawa dan makan di restoran yang ada di situ.

“Seperti yang kami maklum, KIP Group menyasarkan pasaran kelas pertengahan massa dan semua pusat beli belah kami sama ada yang sudah siap atau akan datang terletak di lokasi yang menempatkan pasaran ini.

“Mereka ini kebanyakannya memerlukan barangan asas dan untuk kegunaan di dalam rumah yang mana tidak boleh dibeli di dalam talian. Anda tidak boleh membeli perabot di dalam talian lagi buat masa ini. Malahan pengguna pada masa ini juga masih suka untuk menyentuh dan merasai barangan yang mereka ingin beli.

“Selain itu, faktor pemilihan penyewa yang tepat dan berkualiti memainkan peranan yang penting untuk menarik kehadiran pengunjung ke pusat beli belah kami dan inilah strategi yang digunapakai oleh kumpulan selama ini,” katanya.

Advertisements