Kuala Lumpur: Sebagai usaha dalam mewujudkan belia yang berkeperibadian bersepadu dalam pelbagai aspek merangkumi rohani dan akidah, Kelab Pemuda Kampung Baru (KPKB) telah dilancarkan baru-baru ini. Berperanan sebagai pemangkin semangat dalam usaha menjayakan aspirasi membentuk jati belia serta meneruskan legasi kegemilangan Kampung Baru, pelbagai aktiviti telah dirangka sepanjang tahun ini.

Didaftarkan dibawah Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) pada 30 januari 2019, kelab ini dilihat sebagai nadi penggerak anak-anak muda Kampung Baru untuk menghidupkan kembali lokasi ini agar tidak ditelan arus pembangunan pesat pada masa kini.

Presiden kelab, AD Adib Shahruddin berkata, KPKB ini ditubuhkan atas dasar gabungan kerja anak muda untuk melibatkan diri secara proaktif sebagai platform melahirkan anak muda berwawasan.

“Kami juga berhasrat menjadikan Kampung Baru sebagai hub pelancongan dengan membangunkan sebuah muzium bagi generasi akan datang termasuk para pelancong mengetahui asal usul kawasan ini. Selain itu, ianya sebagai peringatan dan pengetahuan kepada golongan pelapis agar tahu sejarah memperjuangkan Kampung Baru ini”.

“Kami juga telah merangka pelbagai pelan aktiviti demi memastikan kelab terus bergerak proaktif” katanya.

Baeliau juga turut mengajak anak-anak muda Kampung Baru terus menyokong dan menyertai Kelab ini bagi kelangsungan perjalanan bukan sahaja dari segi program CSR sahaja namun pembangunan dan tujuan mempromosi Kampung Baru dari aspek pelancongan.

Majlis perasmian Kelab Pemuda Kampung Baru ini telah dirasmikan oleh Tan Sri Dr. Suleiman Mohamed, bekas Timbalan Menteri Penerangan ahad lalu di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Advertisements