Kuala Lumpur: Tindakan lelaki gemar bersiul apabila melihat wanita dengan niat mengusik, adalah perbuatan yang dianggap sebagai gangguan seksual kepada golongan terbabit.

Ramai memandang ringan perbuatan ini kerana menganggap sekadar usikan, tetapi sekiranya siulan itu membuatkan wanita berkenaan tidak selesa, pelaku boleh dikenakan tindakan undang-undang berkaitan gangguan seksual.

Gangguan seksual sebahagian daripada perlakuan lucah terhadap wanita dan tidak dikehendaki atau direlakan mangsa.

Sebagai contoh, seorang janda, masuk ke kantin pejabat dan sekelompok rakan lelaki bersiul sebaik wanita berkenaan melangkah masuk, seorang yang lebih berani berkata dengan kuat; “Jangan usik, gersang.”

Felow Kanan Pusat Ekonomi dan Kemasyarakatan (EMAS), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Siti Fatimah Abd Rahman, berkata ini adalah senario gangguan seksual, terutama sekiranya wanita berkenaan berasa terhina atau tidak dihormati.

Beliau berkata, gangguan boleh berlaku secara lisan, tulisan (mesej, gambar), isyarat, visual dan sentuhan.

Gangguan bentuk psikologi

“Gangguan juga boleh berlaku dalam bentuk psikologi, iaitu pujukan berterusan untuk berjumpa, ajak keluar dan kenyataan seperti sudah menempah bilik hotel,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Menangani Gangguan Seksual dan Keganasan Rumah Tangga di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), sempena sambutan Hari Wanita 2019 anjuran INTAN dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Forum turut disertai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak, Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia, Asisten Komisioner Choo Lily; Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemerkasaan Wanita Intelektual Johor (JEiWA), Nor Fadilah Nizar dan Penganalisis Jenayah, Kamal Affandi Hashim.

Sementara itu, Kamal Affandi berkata, gangguan seksual tidak berlaku secara spontan, sebaliknya sudah dirancang pelakunya.

“Semuanya bermula dari dalam fikiran pelaku, bermula dengan fantasi dan bagaimana fantasi meningkat, bergantung kepada reaksi mangsa.

Bertindak tegas terhadap pelaku

“Sekiranya mangsa menunjukkan reaksi tidak menolak dengan tegas, pelaku bertindak lebih berani seperti mengusik dengan kata-kata, mahupun sentuhan,” katanya.

Beliau berkata, wanita perlu bertindak berani dengan menjelaskan bahawa mereka tidak dapat menerima perbuatan itu dan memberi amaran tegas kepada pelaku.

Menurut Kamal Affandi, fantasi pelaku ke atas mangsa boleh bermula dengan mencuri objek milik mangsa seperti cawan yang sering digunakan di pejabat.

Memiliki barangan mangsa seolah-olah pelaku dalam khayalannya berjaya ‘menawan’ mangsa. Imaginasi pelaku mendorongnya bertindak dengan kata-kata.

Sekiranya mangsa tidak menolak dengan tegas, pelaku menganggap perlakuannya diterima.

“Awas sekiranya ada barang milik anda yang diletakkan di atas meja pejabat hilang, kerana mungkin tanda anda mempunyai peminat ‘misteri.’

“Kira-kira 26 peratus daripada kes gangguan seksual berlaku ke atas lelaki, tetapi kebanyakannya jarang membuat laporan kerana mereka ada sifat yang kompleks seperti ego tinggi,” katanya.

INFO: Gangguan seksual

80 peratus wanita tidak melaporkan gangguan seksual kerana:

– Malu dan enggan melalui proses aduan yang sukar.

– Takut hilang pekerjaan (pelaku pegawai atasan) atau bimbang dicederakan.

– Bimbang dituduh mereka cerita (pelaku ada reputasi baik, pegawai atasan atau dihormati masyarakat).

Tiga sebab lelaki lakukan gangguan seksual:

– Menganggap darjat mereka lebih tinggi.

– Salah faham isyarat wanita hanya kerana mereka berpakaian seksi atau mesra.

– Tidak sedar atau tidak kisah perbuatannya melampaui batas.

Tip elak gangguan seksual:

– Elakkan berdua-duaan dengan pelaku (walaupun untuk urusan kerja).

– Bawa teman sekiranya terpaksa berjumpa pelaku.

– Katakan ‘tidak’ dengan tegas. Sekiranya amaran tidak dipedulikan, buat aduan secara rasmi.

Advertisements