SHAH ALAM: Kerajaan negeri meminta penduduk di sekitar Taman Eng Ann, Klang untuk bertenang serta tidak panik dengan kejadian pembuangan sisa kimia di kolam takungan di kawasan itu yang berlaku petang semalam.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, dalam satu kenyataan berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian pembuangan sisa kimia itu kira-kira jam 6 petang semalam.

“Saya menasihatkan penduduk di sekitar Taman Eng Ann bertenang serta tidak panik dengan kejadian pembuangan sisa kimia di kolam takungan yang berlaku petang semalam.

“Saya sudah mengarahkan tindakan segera diambil untuk kerja-kerja mitigasi membendung dan membersihkan sisa kimia dilaksanakan serta merta bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku kepada penduduk sekitar.

“Saya difahamkan pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sudah memulakan proses membendung dan mitigasi pada jam 8 malam tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kontraktor sudah dilantik pada pagi ini bagi memulakan proses pembersihan dan dijangka akan mengambil masa dua hari untuk diselesaikan.

Katanya, beliau juga sudah meminta Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor memantau keadaan semasa serta bekerjasama dengan pihak LUAS, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor untuk menyelesaikan kes ini.

“Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengenal pasti pihak yang tidak bertanggungjawab yang membuang sisa kimia ke kawasan kolam takungan ini.

“Satu laporan polis sudah dibuat oleh pihak LUAS bagi mengesan pihak yang bertanggungjawab mencemar alam sekitar di kawasan Taman Eng Ann,” katanya.

Amirudin berkata, agensi kerajaan negeri akan melaksanakan proses pembersihan secepat mungkin bagi keselesaan penduduk sekitar kawasan berkenaan.

Advertisements