Kementerian Luar berkata, dua rakyat Malaysia yang cedera dalam kejadian itu sedang menerima rawatan di hospital.

Kementerian itu berkata, Malaysia mengutuk keras tindakan keganasan melampau itu terhadap orang awam yang tidak bersalah.

Pada jam 1.40 tengah hari (waktu tempatan), kejadian tembakan dilaporkan berlaku di Masjid Al-Noor berhampiran Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch, yang mengorbankan 40 orang nyawa dan lebih 20 orang cedera. Kerajaan New Zealand turut mengumumkan Christchurch ditutup susulan insiden itu.

Kementerian Luar berkata, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington sedang berhubung dengan rakyat Malaysia di Christchurch dan mengawasi keadaan dengan teliti.

“Talian hotline sudah diwujudkan di Suruhanjaya Tinggi untuk memudahkan sebarang pertanyaan mengenai situasi semasa,” katanya.

Kementerian Luar berkata, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington boleh dihubungi di alamat 10 Washington Avenue, Brooklyn, Peti Surat 9422, Wellington 6021, New Zealand, di talian 00-64-210440188/00-64-4385 2439/00-64-4801 5659 dan emel mwwellington.kln@1govuc.gov.my dan mwwelton@xtra.co.nz