CHRISTCHURCH: New Zealand akan mengadakan upacara peringatan negara pada 29 Mac ini bagi mangsa keganasan di dua masjid dan keluarga mereka, kata pejabat Perdana Menteri hari ini.

Upacara antara agama akan diadakan di Christchurch dua minggu selepas pengganas kulit putih Australia menembak mati 50 jemaah yang tiba untuk menunaikan solat Jumaat di dua masjid di bandar raya itu pada 15 Mac lalu.

“Upacara peringatan negara ini memberikan peluang kepada Cantabrian (penduduk Christchurch), rakyat New Zealand dan penduduk seluruh dunia untuk bersatu menghormati mangsa serangan pengganas.

“Seminggu selepas serangan ganas tidak pernah berlaku itu, negara ini menyaksikan kesedihan dan luahan kasih sayang.

“Upacara ini memberi peluang sekali lagi untuk menunjukkan bahawa rakyat New Zealand penuh dengan kasih sayang dan kepelbagaian dan kita akan melindungi nilai itu,” kata Perdana Menteri, Jacinda Arderns, dalam kenyataan.

Pembunuhan beramai-ramai itu menggegarkan negara yang biasanya aman dan mencetuskan kebimbangan seluruh dunia kerana penstriman langsung dibuat pengganas berkenaan. — AFP

Advertisements