Pembangunan pelbagai projek pelancongan bertaraf antarabangsa dengan jenama terkenal di Desaru Coast dilihat lebih memperkukuhkan lagi kedudukan Desaru sebagai destinasi pilihan.

Sehubungan itu, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dengan kerjasama Travelers Writers Association Malaysia (TRAM) meraikan hampir 40 wakil media tempatan dan Indonesia bagi menjayakan rangka promosi Desaru sebagai badar pelancongan di Johor.

Pengurus Pelancongan KEJORA Haslinda Abu Bakar berkata, program ini merupakan satu inisiatif kerjasama bersama media bagi memperluaskan informasi selain memperkenalkan Desaru bukan sahaja kepada rakyat Malaysia sendiri, malah membuka ruang juga kepada pelancong luar.

Antara kawasan yang dilawati termasuk Desaru, Tanjung Balau, Tanjung Sedili, Kampung Johor Lama dan Teluk Sengat bagi mempromosikan destinasi pelancongan disamping dapat memperkenalkan keindahan alam semulajadi serta tinggalan sejarah yang menjadi salah satu wadah pelancongan disitu.

Turut serta, Presiden TRAM Datuk Azlie Halim yang melihat program ini sebagai satu usaha yang baik dari KEJORA dan mengalu-alukan kerjasama dari pelbagai pihak dan media dalam memperkenalkan produk pelancongan di Malaysia.

Wakil media bukan sahaja diperkenalkan dengan pembangunan di Desaru Coast yang meliputi pelbagai hotel dan taman tema namun turut didedahkan dengan kawasan berteraskan alam semulajadi seperti Tanjung Balau, Tanah Lembap Kampung Belukar Durian, Muzium Nelayan Tanjung Balau, Pusat Penetasan dan Ternakan Belangkas Sedili Kecil, Sungai Sedili, Sungai Johor, Desaru Fruit Farm, Taman Buaya Teluk Sengat serta Kampung Johor Lama sebagai pusat pentadbiran kerajaan Johor terawal.

 

Advertisements