Malaysianews TV

Portal Berita Telus Terus Kepada Anda

Gaya Hidup

Nota Desaru: Menyingkap arus pembangunan, keindahan alam dan tinggalan sejarah

Desaru terletak 100 kilometer dari Johor Bahru, dan merupakan destinasi yang sangat popular dengan pantai yang bersih, padang golf yang hebat dan daya tarikan yang unik.

Walaupun ia lebih dikenali sebagai kawasan pantai dan tempat peranginan, nama lainnya adalah ‘Tanah Casuarina’, sebagaimana pokok-pokok ru yang kelihatan di sepanjang pantai.

Keindahan hutan semula jadi, ditambah dengan pemandangan Laut China Selatan, sudah tentu menjadikannya sebuah destinasi yang menarik serta menawan hati pelancong dari dekat dan jauh.

Antara tarikan di Desaru termasuk Pantai Desaru, Muzium Perkampungan Nelayan di Tanjung Balau, Ladang Buah-buahan Desaru dan peluang untuk melihat kunang-kunang di Sungai Lebam.

Desaru ‘Syurga Percutian’

Malaysianews TV berkesempatan meneroka Desaru selama 3 hari 2 malam kerjasama Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dengan kerjasama Travelers Writers Association Malaysia (TRAM) bersama-sama wakil media tempatan lain dan media Indonesia.

Satu pengalaman manis dan berharga yang kami rasakan, kerana sebelum ini kami hanya mengenali Desaru sebagai sebuah pantai biasa yang sama seperti pantai-pantai lain di Malaysia.

Telahan kami sama sekali ternyata tidak benar kerana Desaru adalah salah satu destinasi pelancongan yang sangat membangun pesat disamping seimbang dengan keindahan alam semulajadinya yang cukup mengasyikkan serta peninggalan sejarah yang masih lagi segar mengajar kita mengenali susur galur serta budaya yang tidak akan lapuk dek zaman.

Kedatangan kami disambut dengan alunan keroncong dan hidangan nasi ambeng yang sangat menyelerakan. Bagi penulis yang berdarah jawa, nasi ambeng cukup sinonim dan antara makanan kegemaran setiap kali keraian. 

 

Gamitan pembangunan

Sudah lama tidak mendengar nama Desaru. Sekitar tahun 80-an dan 90-an, ia antara kawasan peranginan tersohor di Johor. 

Entah kenapa nama itu kemudian seakan-akan dilupakan menyebabkan jemputan pelancong ke sana baru-baru ini lantas menimbulkan rasa teruja untuk mengetahui perkembangannya.

Dalam diam, rupa-rupanya Desaru berusaha bangkit kembali sebagai destinasi pelancongan popular tanah air. Masih segar dalam ingatan kenangan bermain umang-umang di pasir Desaru yang bersih. 

Ternyata kawasan pelancongan pantai di daerah Kota Tinggi dan pesisiran Laut China Selatan itu masih menjadi tumpuan bukan sahaja warga tempatan malahan rakyat Singapura, Indonesia, Brunei dan lain-lain turut bercuti serta melegakan minda disitu.

Kini makin banyak pusat penginapan, rekreasi dan kegiatan ditawarkan.

Bagi ahli perniagaan dan korporat, mereka mungkin memikirkan Desaru sebagai ‘syurga golf’. Di situ terdapat padang golf 27 dan 18 lubang bertaraf dunia seperti The Els Club Desaru Coast, di samping resort serta hotel mewah lima bintang.

 

 

Terdapat juga taman tema seperti Desaru Coast Adventure Waterpark yang menjadi kesukaan semua golongan masyarakat.

Pantai Desaru juga menjadi destinasi peranginan premium dan antara kawasan pembangunan pelancongan yang dinanti-nantikan ramai. Ditambah pula dengan gabungan pembinaan hotel dan resort terkemuka bertaraf dunia, tentulah masing-masing teruja menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan.

 

Pembangunan Desaru Coast mempunyai antara taman tema air terbesar di dunia, selain padang golf, hotel dan pusat persidangan.

Menjejakkan kaki di Desaru Coast cukup membuatkan kami begitu teruja melihat pembangunan yang begitu cepat. Antara resort golf yang boleh kami kelaskan paling berprestij, melihat pula hotel mewah seperti The Westin dan Hard Rock Hotel yang benar-benar mengagumkan siapa sahaja yang datang kesana.

Melihat hamparan Desaru Coast Adventure Waterpark di hadapan Hard Rock Hotel juga membuatkan kami terpegun kerana ianya bukan sahaja merupakan taman tema air antara yang terbesar di Asia malah menyajikan pelbagai aktiviti menarik seperti Tidal Wave Beach dan ombak buatan sendiri itu antara tertinggi di dunia dan mampu mencapai sehingga 4 meter tinggi.

 

Selain itu, untuk kanak-kanak pula Kids Ahoy adalah kawasan yang bakal memberikan keceriaan untuk anak-anak anda dan turut dilengkapi dengan 13 papan gelongsor yang berbeza.

Dilengkapi dengan dua corong tenaga tinggi yang dinamakan The Tempest. Disini anda akan merasa takut dan teruja apabila menlusurinya dan bakal memberikan pengalaman yang luar biasa.

Desaru bukan sahaja mempunyai penginapan mewah, malah turut memberikan pilihan dengan pelbagai penginapan mampu inap seperti Tunamaya Beach Resort, Sand & Sandals Desaru Beach Resort & Spa, Bayu Balau Beach Resort, Chalet D’Punggai dan pelbagai lagi.

 

Bagi anda yang ingin menginap di sekitar kawasan bandar Desaru, hotel Amansari pasti lokasi paling dicadangkan.

 

Menelusuri alam semulajadi

Dengan pembangunan produk pelancongan moden yang begitu pantas, ianya sama sekali tidak membenamkan produk pelancongan berteraskan alam semulajadi. Cukup seimbang dan sama rata sekaligus menjadikan Desaru sebagai destinasi wajib datang dikalangan pelancong.

Terlalu banyak untuk diteroka, dan kami diberi kesempatan melihat sendiri proses penanaman buah Rock Melon dan Jade Melon. 

Sebelum ini, kami hanya mengenali buah Rock Melon yang sememanganya manis dengan isi agak kekuningan. Namun, menjejaki Ladang Fertigasi KEJORA barulah kami mengenali buah Jade Melon yang lebih manis berlemak dengan isi berwarna putih seakan tembikai susu.

Ini menunjukkan usaha KEJORA membawa wakil media menelusi segenap Desaru sangatlah berbaloi kerana bukan sahaja dapat mengetahui sesuatu yang baru sekaligus menyampaikan info juga kepada para pembaca.

Seusai Ladang Fertigasi, kami sekali lagi diberi peluang menaiki bot menyusuri Sungai Sedili untuk melihat sendiri Tempat Penternakan dan Penetasan Belangkas di Belangkas Santuary. 

Tiba sahaja disini, kami melihat ratusan ekor belangkas (horseshoe crab) atau nama saintifiknya “tachypleus gigas” berenang-renang dalam kolam yang dibina khas. 

 

Info: Belangkas adalah spesies unik yang telah wujud lebih 200 juta tahun serta mendahului dinosaur dengan fosil tertua kira-kira 475 juta tahun.

Memandangkan belangkas adalah spesis haiwan eksotik yang kian pupus, maka Mohd Khairul Idham selaku pengurus pusat santuari melihat usaha menternak belangkas sebagai relevan bukan sahaja memastikan spesisi ini terus hidup malah sebagai ruang rezeki bagi warga tempatan.

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) misalnya berfungsi sebagai pihak yang mengawal selia pusat ini agar terus memastikan memelihara dan memulihara spesis belangkas ini.

Bukan sahaja melihat proses penternakan belangkas, malah kami juga turut diberi peluang merasai sendiri keenakan isi dan telur belangkas diatas bot di Restoran Terapung Bujang Firefly, Kota Tinggi.

Satu pengalaman yang cukup lain dari lain, apabila dapat menikmati makan malam berlaukkan belangkas masak pedas, siput gonggong masak kicap, ikan siakap stim, tom yam campur dan pelbagai sambil dibawa menikmati suasana malam sepanjang Sungai Lebam.

Menjamu selera bertambah menyeronokkan apabila ditemani angin sungai yang sejuk dan deruan enjin bot. Selepas kenyang, kami dibawa pula menjamu mata melihat cahaya kunang-kunang yang berkelip. Ianya benar-benar satu pengalaman baru bagi kami yang sudah terbiasa dengan lampu neon bandar.

Apa yang boleh kami katakan, anda seharusnya merasai sendiri pengalaman menjamu selera di sini kerana ianya satu perasaan ketenangan dan kegembiraan yang sukar diungkap.

Antara buah-buahan dan Sang Bedal

Datang ke Desaru, tidak lengkap rasanya jika tidak ke Desaru Fruit Farm bagi merasai dan mempelajari proses tanaman buah-buahan tempatan, herba dan sayur-sayuran.

Desaru Fruit Farm dibuka pada tahun 2001 dan telah menerima 180,000 pengunjung sehingga sekarang terutama pengunjung daripada Singapura. Ladang Agro ini juga telah banyak menerima penganugerahan antaranya The Winner of Malaysia Tourism Malaysia 2008/2009 , Innovative Tourism Attraction, Agro Tourism Conversation , Johor Tourism award 2009 winner of the best Agro Tourism , MAHA 2006 Best Agro – Tourism Site dan terbaru 2017 Gold Award Agro Tourism Product.

 

 

Kami dibawa melawat oleh En Henry Goh, pengurus ladang untuk melihat keistimewaan ladang buah , herba dan sayuran yang ada disini.
 
Keluasan  ladang ini 45.5 hektar dan memiliki lebih daripada 100 spesis tumbuhan dan juga buah-buahan tempatan iaitu buah  bermusim seperti durian , rambutan , pulasan dan manggis manakala buah yang tidak bermusim seperti kedondong, nangka, jambu batu, ciku dan banyak lagi.
Lebih membuatkan kami teruja, pihak ladang turut menjamu kami menikmati pelbagai jenis buah-buahan yang sememangnya cukup menyelerakan disamping lauk pauk yang turut termasuk didalam pakej lawatan ladang.
Disini juga, kami diberi peluang merasai buah Abiyu yang tidak akan anda nampak dijual di mana-mana pasaraya tetapi hanya ada di ladang ini. Buah yang cukup rasa lemak manis dengan warna kulit luar yang kekuningan sememangnya cukup sedap untuk dinikmati. Kami syorkan anda untuk ke sini merasai sendiri.
Puas menikmati keenakan buah-buahan, kita terus melawat ke taman buaya pula. Disini anda akan kagum melihat taman yang dipenuhi lebih 1000 ekor buaya pelbagai spesis, rupa dan usia.
Dengan hanya tiket masuk RM8, anda berpeluang melihat buaya yang berusia lebih 155 tahun serta spesis buaya kurang upaya samada tiada ekor dan buta.  Pada usia yang uzur ini ia lebih suka menghabiskan masanya berjemur dan bukan lagi menakut-nakutkan para pengunjung.
Kebanyakan buaya di sini adalah dari spesis buaya air tawar (Crocodylus Porosus). Apabila anda menjelajah lebih jauh ke dalam ladang ini, anda akan dapat melihat bahawa saiz buaya menjadi semakin besar.
Terletak di Teluk Sengat, Ladang ini beroperasi pada usia tahun 1979. Para pelawat mempunyai peluang untuk menyaksikan bagaimana buaya diberi makan. Pelawat boleh menyaksikan juga anak-anak buaya dan dibenarkan sentuh mereka di bawah pengawasan penjaga. Selain itu, terdapat cenderamata yang dijual di taman buaya tersebut.
Bagi bukan muslim, jika anda ingin merasa sup herba buaya dan sate buaya, boleh berkunjung kesini. 
Tinggalan sejarah Johor Lama
Johor Lama ialah sebuah kampung yang terletaknya di tebing Sungai Johor di Daerah Kota Tinggi, Johor. Sejak kejatuhan Kesultanan Melaka pada tahun 1511, ia menjadi ibu kota diraja sultan-sultan Johor sehingga dimusnahkan oleh pihak Portugis pada tahun 1587.

Tidak ramai yang kenal Kampung Johor Lama, sebuah kawaan penempatan kecil dan terpencil jauh dari pusat bandar Kota Tinggi.

 

Kampung itu dinamakan sempena dengan kedudukannya dalam Kota Batu iaitu tempat yang menjadi pusat pentadbiran kerajaan Johor terawal.

Justeru, kampung tersebut pasti menyimpan seribu kenangan serta sejarah dan sebahagiannya yang masih lagi tersembunyi belum dapat dirungkai.

Memasuki kawasan kampung, anda akan dapat melihat kubur-kubur lama di kiri dan kanan jalan berhampiran beberapa meter sahaja dari rumah penduduk.

Menurut wakil penduduk, Encik Nahar ianya sudah menjadi kebiasaan dan tidak ada apa yang ditakutkan. Beliau juga turut memperkenalkan air sakar yang menjadi minuman simbol selamat datang kepada tetamu. Air sakar merupakan minuman golongan bangsawan sejak dahulu yang dimasak bersama biji cengkih, kulit kayu manis dan pelbagai lagi.

Sebagai penutup, kami ke Panz Homestay yang dimiliki oleh Encik Shahrul dan disambut pula dengan hidangan lemang panas, rendang lokan dan ungkep lokan. Satu hidangan yang cukup menyelerakan dimana ini merupakan pengalaman pertama penulis sendiri merasai rendang dan ungkep lokan.

Disamping menikmati permandangan serta pertemuan air sungai dan laut dihadapan penginapan, kami juga turut merasai sendiri pengalaman flying fox dengan gelagat para peserta yang mencuit hati. 

Sesungguhnya 3 hari di Desaru masih belum membuatkan kami puas untuk meneroka segenap kawasan. Satu keindahan alam yang patut anda juga merasainya. 

Terima kasih KEJORA

Malaysianews TV mengucapkan jutaan terima kasih kepada Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dengan kerjasama Travelers Writers Association Malaysia (TRAM) yang mengadakan satu program berharga seperti ini.

Banyak perkara baru dipelajari dan mengekarkan lagi rasa cinta terhadap alam semulajadi serta sejarah, budaya dan industri tempatan.

Semoga Desaru menjadi ikon pelancongan seimbang dan bertambah sukses di masa akan datang.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Advertisements
%d bloggers like this: