Alah bisa tegal biasa, perumpamaan itu mungkin sesuai bagi Zamani Zakaria, pemilik Adan Laundry yang cekal menempuh pelbagai halangan dan cabaran sebelum berjaya memenuhi impiannya bergelar usahawan.

Sebelum membuka perniagaan dobi Adan Laundry, Zamani pernah bekerja sebagai penyelenggara lebuhraya dan kemudian memulakan arena perniagaan secara kecil-kecilan dengan membuka kedai barangan kosmetik.

Semua itu bagaikan suatu pengalaman tidak ternilai bagi Zamani yang menganggapnya antara dorongan terkuat untuk beliau mengejar kejayaan, walaupun sekadar menamatkan pengajian di peringkat Sijil pelajaran Malaysia (SPM).

 

“Justeru, pada tahun 2009, beliau mula menjual produk kecantikan bersama isteri di pelbagai tempat dengan menyewa lot kecil di pejabat kerajaan,” kata Pengarah Urusan Qubah Emas Resources Sdn Bhd, pengendali rangkaian kedai dobi Adan Laundry dalam temubual di pejabatnya di Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor.

Zamani berkata, kehidupannya mula berubah apabila beliau berjaya membuka kedai dobi pertama pada 2010 berbekalkan wang dikumpul hasil perniagaan produk kecantikan bersama isteri.

“Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk membuka bisnes dobi tapi saya fikir apa salahnya ambil risiko. Alhamdulillah, dalam tempoh enam bulan ternyata sambutan amat menggalakkan,” katanya.

Zamani berkata, pemilihan nama Adan Laundry untuk jenama perniagaannya diambil sempena nama anak sulungnya, Mohd Zuhri Ramadhan.

Katanya, nama Adan juga dipilih kerana ingin mengekalkan ciri-ciri Melayu berikutan kebanyakan perniagaan dobi sedia ada adalah milik bukan Bumiputera.

Menurut Zamani, pada awal perniagaannya, beliau hanya mampu membeli tiga mesin basuh automatik yang digunakan di rumah dengan sebuah pengering industri.

 

Zamani berkata, di awal perniagaan, beliau tidak mempunyai pekerja, sebaliknya hanya dibantu isterinya untuk menguruskan kedai dobi terbabit.

“Selepas tiga bulan beroperasi, barulah kami mampu menggaji seorang pembantu untuk menolong mengusahakan kedai dobi itu,” katanya.

Menurut Zamani, antara perkhidmatan disediakan ialah basuhan biasa, seterika, basuhan selimut, pengering, basuhan langsir dan permaidani.

Beliau berkata, bermula 2013, Adan Laundry membuka pula kedai dobi berkonsepkan layan diri yang beroperasi 24 jam.

“Ketika itu, memang kedai dobi layan diri mula dapat perhatian. Kami perlu ikut trend semasa untuk teruskan perniagaan.

“Kedai dobi konsep ini lebih menguntungkan kerana masanya lebih fleksibel bagi orang ramai untuk dapatkan perkhidmatan kami,” katanya yang mula menawarkan francais dobi Adan Laundry pada Januari tahun 2014.

Walaupun pada awalnya hanya mampu menyewa sebuah lot kedai di Damansara Damai, Zamani kini boleh menarik nafas lega kerana perniagaan Adan Laundry semakin berkembang dan memiliki 41 cawangan di seluruh negara yang mana 10 diusahakan sendiri dan selebihnya secara francais.

Selain kedai dobi, Zamani berkata, syarikat miliknya melalui Adan Chem Trading juga membekalkan sabun dan peralatan lain di lebih 200 kedai dobi seluruh Malaysia.

“Kami ada kilang sendiri di Rawang untuk pembekalan bahan cucian dan barangan dobi seperti penyangkut baju dan plastik,” katanya.

“Jadi kami buka Adan Chem Trading untuk bekalkan sabun dan peralatan dobi lain sebagai pilihan kepada usahawan dobi Bumiputera untuk mendapatkan bekalan untuk operasi kedai dobi mereka,” katanya.

Adan Laundry juga mula melantik Master Francais di setiap negeri untuk membantu memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada francaisi kami di seluruh negara.

Bagi orang awam mahupun bakal usahawan dobi yang ingin mendapatkan mesin basuh berkualiti tinggi jenama Electrolux, boleh mendapatkan nasihat serta belian terus melalui mereka dengan diskaun sebanya RM1000 sehingga jun ini dengan menghubungi 03-61500749 atau email kepada adan@adanlaundry.my.

Advertisements