PUTRAJAYA: Restoran terkemuka D’Tandoor dan semua rangkaian perniagaannya giat menjalankan kempen menghentikan pembuangan lebihan makanan, khususnya ketika Ramadan.

Pengurus Besar D’Tandoor Amir Malik berkata inisiatif kempen “Hentikan Pembaziran Makanan” itu dilaksanakan selepas mengambil kira kuantiti makanan yang dibazirkan atau dibuang yang dianggarkan melebihi 15,000 tan sehari di negara ini.

Beliau berkata kempen itu seiring dengan amalan D’Tandoor dalam membantu golongan kurang bernasib baik mendapat bekalan makanan yang terjamin kualitinya sepanjang bulan puasa.

“Sebenarnya, amalan mengelak pembaziran makanan ini telah kami lakukan sejak tiga tahun dahulu, di mana syarikat menyimpan data pihak yang memerlukan seperti rumah kebajikan dan rumah anak-anak yatim untuk diagihkan lebihan makanan.

“Selain mempergiatkan kempen berhenti membazir makanan, kami juga merancang bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam usaha menyokong program Food Bank Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen itu sempena promosi bufet ramadan D’Tandoor di sini semalam.

Amir berkata pihaknya akan bertemu dengan KPDNHEP dalam masa terdekat bagi membincangkan kaedah bagaimana D’Tandoor boleh berperanan membantu kerajaan memperkasakan inisiatif Food Bank Malaysia.

Beliau berkata sejak tiga tahun lepas, inisiatif syarikat dalam membantu mengurangkan pembaziran makanan menyaksikan 25 pertubuhan atau rumah kebajikan telah dibantu dengan dibekalkan makanan oleh rangkaian D’tandoor, sekaligus mengatasi masalah pembaziran makanan di premis perniagaan.

Sebab itu, kita akan berjumpa dengan KPDNHEP bagi membincangkan bagaimana kami boleh berperanan dalam mengurangkan masalah pembaziran makanan melalui program Food Bank Malaysia, katanya.

Mengenai bufet ramadan, Amir berkata pihaknya akan menyajikan 35 jenis makanan untuk dinikmati pelanggan sepanjang bulan puasa dengan kadar harga RM42.90 seorang.

Advertisements