KOTA DAMANSARA – SCland Development Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Alcom Group Berhad (Alcom) menerima Anugerah Pensijilan Hab E-Dagang Kebangsaan oleh Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (SITEC) atas inisiatifnya membangunkan hab e-dagang pertama di Malaysia.

Anugerah itu disampaikan oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari kepada Pengerusi Alcom, Dato’ Seri Subahan Kamal.

Amirudin berkata, ia sebagai langkah baharu bagi Selangor mengorak langkah ke hadapan dalam perniagaan runcit baharu, di mana Online to Offiline (O2O) dan Penggabungan Online dengan perniagaan Offline (OMO) semakin meningkat.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Pengerusi SITEC, Dato’ Teng Chang Khim dan Ketua Eksekutif SITEC, Yong Kai Ping atas usaha memastikan usaha komprehensif serta menggalakkan pendekatan bersepadu antara Kerajaan Negeri, pemaju hartanah juga pemain utama dalam ruang digital.

“Saya harap anugerah pertama yang diterima ini dicontohi oleh komuniti perniagaan dan menjadikan hab ini sebagai pintu masuk kepada ekosistem digital,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah dan Penyampaian Anugerah Hab E-Dagang oleh SITEC kepada pemaju, Scland Group, di sini.

Sementara itu, Subahan berkata, pihaknya komited untuk memajukan industri e-dagang dengan pembangunan EM Hub itu.

Katanya, ia termasuk membina ekosistem dan teknologi kondusif serta menyediakan pelbagai platform lain.

SITEC akan memainkan peranan penting dalam memudahkan ekosistem ekonomi digital di pusat sehenti e-dagang itu.

Ia merangkumi gerbang pembayaran, logistik dan program pembangunan bakat yang berkaitan dengan e-dagang termasuk latihan dan program accelarator.

Projek bangunan enam tingkat dengan dua buah blok itu dijangka siap sepenuhnya pada 2022 dengan keluasan 3.8 hektar di Kota Damansara.

EM Hub 1 mula dijual dengan harga bermula RM800,000 berkeluasan 2,196 hingga 4,014 kaki persegi.

Advertisements