Kuala Lumpur – BOOST, aplikasi e-dompet tempatan menawarkan hadiah bernilai RM2.5 juta sempena kempen Super Shake yang berlangsung selama empat bulan bermula 29 April hingga 18 Ogos ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Digital Axiata, Mohd Khairil Abdullah berkata, pihaknya berharap menerusi kempen ini juga ia dapat menggalakkan penggunaan e-dompet di seluruh negara.

Katanya, pelbagai hadiah menarik ditawarkan setiap minggu kepada pengguna Boost yang berbelanja menggunakan aplikasi e-dompet terbabit di semua rangkaian rakan dagangnya terutama di sepanjang bulan Ramadan ini.

“Super Shake adalah kempen terbesar kami yang diadakan bagi menghargai pelanggan Boost dan setiap RM10 yang dibelanjakan akan mendapat satu token serta melayakkan mereka tersenarai dalam cabutan bertuah mingguan.

 

“Boost yang dilancarkan sejak Januari 2017 adalah antara pelopor segmen pembayaran menggunakan e-dompet dengan memiliki 80,000 rakan dagang online dan offline serta mempunyai empat juta pengguna.

“Kami juga komited untuk menambah lebih banyak rakan dagang termasuk di pasaran kampus dan pada masa ini Boost telah berada di Universiti Malaysia Sabah (UMS),” katanya kepada media di majlis pelancaran Super Shake Boost di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, majoriti rakan dagang Boost terdiri daripada pemain industri makanan dan minuman (F&B) diikuti platform e-dagang serta peniaga pasar malam.

Mohd Khairil berkata, Boost juga bekerjasama dengan 45 bazar Ramadan di sekitar Lembah Klang yang menerima Boost sebagai pilihan pembayaran.

Selain itu, Boost turut menambah perkhidmatan baharu di platformnya iaitu waktu berbuka puasa dan solat bagi memudahkan pengguna sepanjang Ramadan ini.

Advertisements