PETALING JAYA – McDonald’s Malaysia mencapai prestasi tertinggi keseluruhan dalam sejarah 36 tahun penubuhannya di Malaysia, dengan mencatatkan pertumbuhan jualan sebanyak 19 peratus tahun-ke-tahun pada tahun 2018. Hal ini demikian kerana syarikat telah menumpukan pelaburannya dalam pelbagai bidang termasuklah tawaran menu tempatan, segmen digital dan aktiviti kemasyarakatan.

“2018 merupakan tahun kemenangan buat kami semua di McDonald’s Malaysia, dimana kami telah merekodkan prestasi jualan tertinggi, dengan pelaburan lebih RM200 juta sejak dua tahun lalu. Angka ini menunjukkan perkembangan kukuh syarikat, dan komitmen kami dalam merealisasikan asas kukuh penubuhan syarikat iaitu mewujudkan restoran yang hebat dan memberikan nilai terbaik kepada pelanggan,” kata Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia.

“Kami juga merupakan restoran khidmat segera yang kini mendahului pasaran saham bagi kategori tempat makan tidak formal (Informal Eating Out),” tambah Azmir.

Pada Disember 2016, Syarikat Lionhorn Pte Ltd dari Arab Saudi telah menjadi Pemegang Lesen Pembangunan (DL) setelah membeli hak McDonald’s Malaysia dan Singapura. Sejak daripada itu, McDonald’s Malaysia telah membuka 23 restoran baharu dan mengubah suai 64 restoran sedia ada berdasarkan model EOTF. Terkini, McDonald’s Malaysia memiliki 278 restoran di seluruh negara.

“Beberapa tahun akan datang bakal menjadi tahun-tahun yang cukup penting buat kami. Menjelang tahun 2025, kami merancang untuk melaburkan RM1.4 bilion, dan mewujudkan sejumlah 450 restoran di seluruh negara,” tambah Azmir.

Sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan syarikat dalam memberikan kemudahan terbaik kepada pelanggan, McDonald’s Malaysia memberi tumpuan utama terhadap kepantasan dan ketepatan dengan meningkatkan segmen perniagaan Pandu-Lalu.

Sejak dua tahun lalu, syarikat telah membuka 17 restoran Pandu-Lalu baharu, dan mensasarkan membuka 20 lagi restoran Pandu-Lalu pada tahun 2019 bagi memberi nilai tambah kepada 167 restoran Pandu-Lalu sedia ada. Terkini, jualan menerusi tingkap Pandu-Lalu meyumbang hampir 50 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan bagi semua restoran Pandu-Lalu McDonald’s. Selain itu, syarikat juga melihat purata pertumbuhan sebanyak 10 peratus tahun-ke-tahun dalam jualan Pandu-Lalu bagi suku pertama tahun 2019.

Menurut Azmir, kejayaan yang dicapai ini bukan sahaja diukur berdasarkan prestasi jualan yang mantap, tetapi juga hubungan kemanusiaan yang terbina.

“Di McDonald’s Malaysia, kami amat komited dalam melaksanakan inisiatif mendekati dan memberi sumbangan kepada komuniti. Komitmen ini merupakan nilai teras McDonald’s Malaysia, dan syarikat secara konsisten berusaha untuk terus mendekati pelbagai kumpulan komuniti di negara ini. Malah, bagi tahun 2018 sahaja, sebanyak 10,000 aktiviti kemasyarakatan telah diadakan,” kata Azmir.