KUALA LUMPUR: Bina Darulaman Bhd (BDB) menyasarkan untuk kembali mencatat keuntungan pada tahun kewangan 2020 selepas mengalami kerugian pada 2017. 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Faris Najihan Hashim berkata ini akan didorong oleh permintaan lebih kukuh dalam projek infrastruktur, dan pembangunan perumahan.

“Pendapatan kami 70 peratus didorong oleh projek infrastruktur, dalam dan luar Kedah,” katanya selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara BDB dan Koperasi Telekom Malaysia Bhd (Kota Mas) di sini hari ini.

MoU itu ditandatangani oleh Faris bagi pihak BDB manakala Kota Mas diwakili oleh Naib Pengerusinya, Bistamam Mohd Zainal.

Bagi tahun kewangan 2018 berakhir 31 Dis, 2018, BDB mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM15.57 juta berbanding kerugian bersih sebanyak RM14.85 juta dalam tempoh sama sebelum ini.

Faris optimis syarikat akan dapat mengurangkan kerugiannya pada tahun kewangan semasa (tahun kewangan 2019). 

Beliau berkata syarikat turut merancang untuk meraih lebih banyak projek infrastruktur, selain meningkatkan segmen hartanahnya. 

“Kebanyakan rumah kami adalah rumah mampu milik, di bawah RM300,000, bagaimanapun bagi rumah melebihi jumlah tersebut, kami bekerjasama dengan pemaju lain,” katanya.

Sementara itu, MoU tersebut menyasarkan untuk menjual lebih 270 unit rumah bernilai hampir RM60 juta di Bandar Darulaman, Jitra dan Darulaman Perdana, Sungai Petani.

Ia juga bertujuan meninjau peluang untuk membangun, menyokong dan memanfaatkan ahli Kota Mas dari segi pemilikan hartanah untuk membantu mereka membeli rumah yang akan dibangunkan oleh BDB di wilayah utara.

Advertisements