KUALA LUMPUR: PETRONAS memeriahkan sambutan Aidilfitri tahun ini dengan menerbitkan filem sesawang khas hari raya bertajuk ‘Rendang SoRaya’.

Filem pendek empat minit 10 saat itu mengangkat tema kasih sayang ibu dan anak serta hubungan unik masyarakat pelbagai kaum yang wujud di Malaysia terutama menjelang lebaran.

Ia memaparkan ikatan hubungan yang erat seorang gadis dengan ibunya, yang ingin mendapatkan rahsia rendang istimewa untuk menyambut Aidilfitri.

Rendang SoRaya memaparkan kisah Soraya, gadis Negeri Sembilan yang juga tukang masak pelatih, ingin menghasilkan rendang daging yang seenak masakan ibunya.

Dalam usahanya itu, Soraya pulang ke kampung halamannya untuk menjejaki rahsia bagaimana ibunya membuat persediaan memasak rendang.

Soraya bertemu dengan orang yang rapat dengan ibunya di pasar bagi mengetahui rahsia ramuan menghasilkan rendang berkenaan.

Filem sesawang yang dipersembahkan dalam loghat Negeri Sembilan ini boleh ditonton mulai hari ini di pelbagai pentas termasuk saluran media sosial, televisyen dan pawagam.

Penonton juga boleh mendaftar masuk ke saluran rasmi YouTube PETRONAS untuk menonton filem pendek berkenaan.

Pengurus Besar Kanan, Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Zahariah Abdul Rahman, berkata filem berkenaan bukan sekadar mengisahkan cara membuat rendang untuk menyambut hari raya.

“Ia membawa apakah kisah di sebalik menghasilkan rendang, yang melambangkan cinta seorang ibu kepada anak gadisnya dengan menurunkan resepi rendang warisannya.

“Dalam filem ini rendang adalah simbolik ikatan kasih sayang anak dan ibu, yang turut menyentuh kehidupan insan lain serta orang sekeliling. Ikatan ini yang wajib disyukuri,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran filem berkenaan di Kuala Lumpur City Centre (KLCC), hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Jabatan Pengurusan Komunikasi, Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Khairul Hisham Mazlan. Filem berkenaan diarahkan Ismail Kamarul.

Barisan pelakonnya pula ialah Fiza Thomas sebagai Soraya, Nooraini Hashim (emak) dan Mohd Kamari Yushak (bapa).

Advertisements