BANGI – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) berhasrat bertanding sekurang-kurangnya 20 kerusi Parlimen di kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang, kata Presidennya Prof Datuk Badhrulhisham Abdul Aziz berkata.

“Negeri yang menjadi tumpuan ialah Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Johor,” katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

Menurut Badhrulhisham, Berjasa telah kenal pasti kawasan yang akan ditandingi serta menyenarai calon berpotensi selain mula membuat persediaan untuk menghadapi PRU15.

Ditanya sama ada tindakan bertanding dalam PRU15 akan menyebabkan undi orang Melayu berpecah, Badhrulhisham berkata Berjasa terbuka kepada perbincangan dengan parti lain yang sealiran dengannya berhubung perkara itu.

“Matlamat Berjasa untuk bertanding dalam PRU15 ialah memperjuangkan kepentingan rakyat dan meningkatkan kesepakatan masyarakat Melayu,”katanya. 

Berjasa yang ditubuhkan pada 1977 kini berada dalam Gagasan Sejahtera bersama PAS, Parti Ikatan Bangsa Malaysia dan Parti Cinta Malaysia.

Advertisements